Buletin

SELAMBA WHEELIE DI JALAN RAYA THAILAND, AKSI BAHAYA INI BUAT NETIZEN PANAS

Sejak sempadan antara Malaysia–Thailand kembali dibuka, ramai rakyat Malaysia mengambil kesempatan untuk melancong atau melakukan konvoi bermotosikal ke negara Gajah Putih tersebut.

Pembukaan sempadan itu juga secara tidak langsung merancakkan semula ekonomi kedua-dua negara setelah seluruh dunia dilanda wabak COVID-19 selama lebih dua tahun.

Dalam keterujaan untuk bersiar-siar, baru-baru ini tular satu klip video, hasil perkongsian Safuan Ahmad di laman Facebook, konvoi melibatkan sekumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi menunggang secara berbahaya dipercayai di sebatang jalan di Thailand.

Untuk rekod, jalan raya Thailand merupakan jalan raya kedua paling berbahaya di dunia setelah Afrika Selatan.

Dalam video tersebut, ada beberapa buah motosikal melakukan aksi seperti wheelie dan menunggang dengan laju. Cara menunggang yang tidak bertanggungjawab itu pastinya boleh mengancam keselamatan pengguna lalu lintas yang lain.

Aksi berkenaan nyata menerima kecaman daripada netizen yang menganggap mereka tidak menghormati peraturan jalan raya negara lain. Selain boleh memberi imej negatif kepada rakyat Malaysia memasuki negara itu.

Salah satu komen di Facebook, dari Zamneo Neo, mengatakan “Macam ni yang menyebabkan kemalangan, kalau kita nak tunjuk skil ke apa, masuk trek, jangan dijalan raya kerana nila setitik habis semua terkena. Fikir-fikir la kami nak konvoi ramai-ramai. Jangan keterlaluan sampai membahayakan orang lain,”

Nada yang serupa luahan akaun Facebook bernama Mentari Merah Dari Timur, “Malulah orang luar tengok perangai kita macam ni, bukan membahayakan diri sendiri malam membahayakan nyawa orang lain. Elak kena gam dari masuk negara jiran dah la.”

Sekiranya hal seperti ini terus berlaku, pastinya pihak berkuasa Thailand akan mengambil tindakan lebih tegas, bahkan ia boleh menjejaskan rakyat Malaysia untuk memasuki Thailand melalui darat pada masa depan.

Ketika dunia baru saja beradaptasi dengan norma baharu gara-gara COVID-19, jangan pula kita mengabaikan keselamatan yang sebenarnya boleh dielakkan.

Google ads
Back to top button