TEKANAN HARGA MINYAK: KUOTA BUDI95 DIJANGKA JADI 200 LITER SEBULAN
Kerajaan dijangka mengurangkan kuota bulanan petrol RON95 bersubsidi di bawah program Budi95 daripada 300 liter kepada 200 liter, susulan tekanan kenaikan harga bahan api tanpa subsidi yang terus meningkat.
Menurut sumber, pengumuman rasmi berhubung pelarasan itu berkemungkinan dibuat seawal minggu ini, dengan pelaksanaan dijangka bermula April.
Harga RON95 bersubsidi kekal pada RM1.99 seliter, namun pengguna yang melebihi had baharu 200 liter akan dikenakan harga pasaran semasa.
Bagi tempoh bermula 26 Mac hingga 1 April, harga RON95 tanpa subsidi dijangka meningkat kepada RM3.87 seliter, naik 60 sen daripada RM3.27 sebelum ini.
Sejak 11 Mac, harga bahan api tersebut telah meningkat sebanyak RM1.20 atau hampir 45%.
Dalam tempoh sama, harga runcit RON97 dan diesel di Semenanjung Malaysia turut mencatatkan kenaikan ketara selama tiga minggu berturut-turut.
RON97 dijangka mencecah RM5.15 seliter, meningkat RM1.90 berbanding RM3.25 sebelum ini, manakala diesel pula dijangka naik kepada RM5.52 seliter, melonjak RM2.40 daripada RM3.12.
Langkah pengurangan kuota ini dilihat sebagai usaha kerajaan mengawal beban subsidi yang semakin meningkat.
Kementerian Kewangan sebelum ini memberi amaran bahawa jumlah subsidi bahan api berpotensi mencecah RM24 bilion tahun ini sekiranya harga minyak mentah global kekal tinggi.
Ketika ini, harga minyak mentah Brent dilaporkan berada sekitar AS$94.49 setong, susut daripada paras hampir AS$120 sebelum ini, namun masih menunjukkan peningkatan ketara berbanding sekitar AS$70 pada penghujung Februari lalu. – The Edge








