
CHERY MALAYSIA RAI KEJAYAAN PENGEDAR, CHERY MEDINI DINOBAT PENGEDAR TERBAIK 2025
Chery Corporate Malaysia meraikan kejayaan rangkaian pengedarnya menerusi penganjuran majlis makan malam gala sulung yang menghimpunkan wakil pengedar serta warga kerja dari seluruh negara.
Sebanyak 32 anugerah merangkumi 15 kategori telah disampaikan sebagai pengiktirafan terhadap prestasi cemerlang dalam bidang jualan, perkhidmatan dan pemasaran sepanjang tahun 2025, sekali gus memperkukuh pengalaman pelanggan terhadap jenama tersebut di Malaysia.
Naib Presiden Eksekutifnya, Men Lin Bo, menzahirkan penghargaan kepada semua rakan pengedar yang disifatkan sebagai tulang belakang kepada pertumbuhan syarikat itu di pasaran tempatan.

Menurut beliau, kejayaan yang dicapai bukan sahaja didorong oleh strategi korporat, malah bergantung kepada komitmen tinggi pasukan di barisan hadapan.
Katanya, kepercayaan dan dedikasi pengedar menjadi faktor utama dalam membina hubungan kukuh antara jenama dan pelanggan.
Chery Medini ungguli anugerah utama
Kemuncak acara menyaksikan Chery Medini dinobatkan sebagai Pengedar Terbaik Tahun 2025. Cawangan yang berpangkalan di Johor itu turut meraih status Emas serta anugerah Top Sales Outlet hasil prestasi menyeluruh yang memberangsangkan.
Beberapa kakitangannya turut mencuri perhatian apabila empat individu menerima pengiktirafan sebagai Top Sales Advisor, manakala Lim Wei Jin dinobatkan sebagai Pengurus Pusat Servis Terbaik.
Tempat kedua dan ketiga bagi kategori pengedar terbaik masing-masing dimenangi oleh Chery Glenmarie dan Chery Bandar Bukit Puchong.
Pengiktirafan individu cemerlang
Selain pencapaian cawangan, majlis tersebut turut memberi tumpuan kepada kejayaan individu yang menjadi pemacu operasi harian syarikat.

Antaranya, Norfarlyana Ahmad Afandi yang tersenarai sebagai penerima anugerah Penasihat Servis Terbaik 2025.
Beliau yang sebelum ini tidak mempunyai pengalaman dalam bidang khidmat pelanggan, berjaya menyesuaikan diri melalui latihan intensif yang disediakan syarikat.
Sementara itu, Christy Ching dinobatkan sebagai Pengurus Jualan Terbaik 2025. Beliau berkongsi cabaran membina kerjaya dalam industri automotif yang sering didominasi lelaki, namun mengakui sokongan persekitaran kerja menjadi pemangkin kejayaannya.
Dalam kategori jualan pula, Ivy Tan Shiuh Ling muncul sebagai Penasihat Jualan Terbaik selepas mencatat jumlah pendaftaran tertinggi. Kejayaan itu disandarkan kepada komitmen tinggi serta keutamaan terhadap keperluan pelanggan.
Cawangan lain turut cemerlang
Pengiktirafan turut diberikan kepada Chery Setia Alam yang memenangi anugerah Top Body and Paint Outlet, manakala Chery Ipoh dinobatkan sebagai Top Service Centre.
Penganjuran majlis ini dilihat sebagai langkah signifikan Chery Malaysia dalam menghargai sumbangan rangkaian pengedarnya, selain mengukuhkan lagi momentum pertumbuhan jenama tersebut dalam pasaran automotif tempatan.
- BACA: KTM 890 ADVENTURE R RALLY 2026 DIUMUMKAN – SUSPENSI WP XPLOR PRO, 104HP
- BACA: LARANGAN PENJUALAN PETROL RON95 KEPADA KENDERAAN ASING BERKUAT KUASA 1 APRIL
- BACA: AVETA CARE ON WHEELS TAWAR KHIDMAT PELANGGAN LEBIH PANTAS, BOLEH DIPERCAYAI
- BACA: TEKANAN HARGA MINYAK: KUOTA BUDI95 DIJANGKA JADI 200 LITER SEBULAN







