
SIME MOTORS RAI 45 TAHUN, EMPAT FINALIS REBUT BMW 2 SERIES
Sempena ulang tahun ke-45, Sime Motors meneruskan penghargaan kepada pelanggan setianya dengan mengumumkan senarai peserta akhir bagi cabutan hadiah utama dalam Kempen Hadiah Hebat yang berlangsung dari September hingga Disember 2025.
Kempen berskala nasional itu bukan sahaja menawarkan pelbagai ganjaran menarik, malah menjadi simbol hubungan erat antara Sime Motors dan pelanggan di seluruh negara.
Sepanjang tempoh empat bulan penganjurannya, seramai 44 pelanggan bertuah telah memenangi hadiah keseluruhan bernilai melebihi RM400,000.
Antara hadiah yang dimenangi termasuk kerusi urut, telefon pintar, tablet, pembersih vakum premium serta konsol permainan popular.
Kini, tumpuan beralih kepada hadiah utama – sebuah BMW 2 Series – yang bakal menjadi milik salah seorang daripada empat finalis terpilih. Mereka ialah Melinda Yap, Alethia Ngo, Chia Sin Ya dan seorang lagi peserta yang memilih untuk tidak mendedahkan identiti.
Majlis penyampaian hadiah utama dijadual berlangsung pada April 2026, di mana pemenang bertuah akan memandu pulang sebuah BMW 218i Gran Coupé Sport.
Menurut Pengarah Urusan Asia Tenggara Sime Motors, Jeffrey Gan, kempen ini merupakan tanda penghargaan terhadap kepercayaan pelanggan yang menjadi tunjang kejayaan syarikat selama ini.
Acara kemuncak pada April nanti dijangka menghimpunkan pelanggan, rakan niaga serta warga kerja Sime Motors dalam satu sambutan penuh bermakna, sekali gus menutup tirai kempen ulang tahun ke-45 dengan penuh gemilang.






