
TOYOTA BERI NAFAS BAHARU KEPADA CELICA – RANCANG ENJIN BAHARU, AWD JADI TARUHAN
Toyota Celica bakal membuat kemunculan semula dengan identiti baharu yang lebih moden, apabila Toyota mengesahkan penggunaan nama “Celica Sports” serta sistem pacuan semua roda (AWD) bagi model tersebut.
Model coupe ini dijangka meninggalkan enjin 1.6 liter tiga silinder turbo yang digunakan pada Toyota GR Yaris dan Toyota GR Corolla.
Sebaliknya, Toyota sedang mempertimbangkan penggunaan enjin berkapasiti lebih besar, termasuk kemungkinan unit 2.0 liter bagi memenuhi piawaian pelepasan emisi yang semakin ketat.
Menurut pihak Gazoo Racing, perubahan ini bukan semata-mata untuk prestasi, tetapi juga disebabkan keperluan regulasi emisi.

Walaupun konfigurasi sebenar masih belum dimuktamadkan, pilihan rangkaian kuasa termasuk hibrid, plug-in hybrid (PHEV) atau enjin pembakaran dalaman sepenuhnya masih dalam pertimbangan.
Antara calon utama ialah enjin empat silinder 2.0 liter baharu yang pernah diperkenalkan sebelum ini, dengan kuasa sekitar 395hp dan berpotensi mencecah sehingga 592hp dengan talaan tertentu. Enjin ini juga berkemungkinan digunakan pada model berprestasi lain dalam barisan Toyota pada masa hadapan.
Dari segi susun atur, tradisi lama meletakkan enjin di bahagian hadapan mungkin dikekalkan untuk Celica.
Namun, spekulasi turut timbul bahawa model generasi baharu ini boleh beralih kepada konfigurasi enjin tengah, terutama apabila dikaitkan dengan projek kereta sports lain seperti pengganti Toyota MR2.
Jika benar, ia berpotensi menjadi model dua tempat duduk yang unik dan berbeza daripada Toyota GR86 serta generasi baharu Toyota Supra.
Menariknya, jentera rali WRC baharu yang sedang diuji oleh Toyota juga dilihat menggunakan badan menyerupai Celica, sekali gus menambah lagi spekulasi bahawa nama legenda itu benar-benar bakal dihidupkan semula dalam bentuk lebih radikal.
- BACA: VW GOLF 1.5 MHEV, KEMBALINYA KOMPAK PRAKTIKAL & POWER
- BACA: LESEN MEMANDU TAMAT LEBIH 36 BULAN TIDAK LAYAK DAPAT SUBSIDI BUDI95 – JPJ
- BACA: CHERY MALAYSIA RAI KEJAYAAN PENGEDAR, CHERY MEDINI DINOBAT PENGEDAR TERBAIK 2025
- BACA: KTM 890 ADVENTURE R RALLY 2026 DIUMUMKAN – SUSPENSI WP XPLOR PRO, 104HP








