
ISUZU D-MAX EV DEBUT DI ASEAN – HARGA MULA RM230K
Selepas muncul sebagai konsep pada 2024 dan diuji di Hokkaido Proving Grounds tahun lalu, Isuzu kini memperkenalkan D-Max EV secara rasmi di Bangkok International Motor Show 2026.
Versi produksi trak pikap elektrik bersaiz sederhana ini akhirnya siap dipamerkan, membawa banyak kejutan untuk peminat EV.
Dari segi kuasa, D-Max EV dilengkapi bateri lithium-ion berkapasiti 66.9kWh, memberikan jarak perjalanan sehingga 331km mengikut kitaran NEDC dan sekitar 263km dengan kitaran WLTC.

Trak ini menggunakan dua motor elektrik, satu pada setiap gandar, menjana jumlah kuasa 190PS dan tork 350Nm, lebih tinggi berbanding model uji di Jepun tahun lalu yang hanya 177PS dan 325Nm.
Walaupun tanpa enjin turbo-diesel, tork segera dari motor elektrik menjadikannya responsif di jalan.
Bateri D-Max EV boleh dicas menggunakan AC biasa dalam masa kira-kira 11 jam dari kosong hingga penuh, manakala DC pantas 50 kW membolehkan pengecasan dari 20 hingga 80 peratus hanya dalam 60 minit. Sistem brek regeneratif juga disediakan, dan boleh dikawal melalui paddle shifter pada stereng.

Reka bentuk D-Max EV menampilkan beberapa sentuhan unik berbanding versi diesel. Ia mempunyai gril khas dengan aksen biru, kemasan bawah lebih bergaya, lencana EV pada fender hadapan dan pintu belakang, port pengecas di fender kiri belakang, serta rim aloi eksklusif.
Armour Guard pula melindungi komponen penting termasuk sistem pemanduan elektrik dan bateri, memastikan trak tahan lasak ketika melalui laluan sukar. Malah, walaupun elektrik, D-Max EV masih mampu mengangkut muatan sehingga 1,000kg berkat casis ladder-frame yang kukuh.
Dari segi keselesaan, D-Max EV dilengkapi sistem infotainmen berskrin sentuh dengan Android Auto & Apple CarPlay, kamera 360 darjah, kawalan suhu dwi-zon, serta bantuan pemanduan pintar termasuk lane-keeping assist dan traffic-jam assist.

Sistem ADAS lain termasuk blind-spot monitoring, lane-departure warning, adaptive cruise control, forward collision warning dengan autonomous braking, dan rear-cross traffic alert.
Harga permulaan ditetapkan pada THB 1.591 juta (sekitar RM230,000).




