Pandu Uji

VW GOLF 1.5 MHEV, KEMBALINYA KOMPAK PRAKTIKAL & POWER

Mungkin 12 atau 14 tahun lepas, pembaca mungkin masih ingat yang Volkswagen Malaysia pernah menjual beberapa kereta yang boleh dikategorikan sebagai “mampu milik”, dipelopori oleh model seperti Polo, Vento dan juga Golf

Ketika itu model Golf dipasarkan dalam beberapa varian dengan varian permulaan menggunakan enjin 1.4 TSi (twincharge) dan kemudian digantikan dengan varian turbo tunggal sahaja. Namun dengan perubahan masa, demografi pelanggan dan pengenalan model baru, Volkswagen seperti menghentikan terus penjualan model asas tadi.

Ini termasuklah Golf 1.4 dan selepas model Golf baru generasi ke 8 diperkenalkan, model termurah yang boleh dibeli oleh pengguna ialah model GTi yang berharga sekitar RM 255,490. Hanya pada bulan November 2025 sahaja barulah varian R-Line diperkenalkan dengan harga permulaan RM 180,000 menjadikannya sebagai model mampu “milik” dari Volkswagen buat masa ini

Walaupun lebih murah daripada varian GTi, ini tidak bermakna Golf R-Line nampak “lemah”, mungkin disebabkan ia digayakan dengan aksesori R-Line yang merangkumi bampar R-Line dengan jeriji khas, bampar belakang dengan diffuser, side skirt R-Line, rim 17 inci COventry, logo VW menyala, lampu epan IQ Light LED matrix dan lampu belakang 3D LED

Mungkin ia hanya tidak diberikan lampu kabus pada bampar depan rekaan hexagonal “chequered flag” dan sepasang ekzos terjulur di bampar belakang seperti model GTi. Sebagai model permulaan juga, R-Line menggunakan enjin dengan sesaran yang lebih kecil tapi jangan pandang rendah pada enjin ini

Enjin EA211 Evo 1500cc 4 silinder dengan turbo ini menjana sekitar 150 PS dan 250Nm tork, apabila digandingkan dengan sistem Mild Hybrid 48 Volt. Namun apa yang menakjubkan ialah teknologi yang disumbat pada enjin ini seperti Active Cylinder Activation, kitaran enjin Miller (Atkinson dengan Turbo) dan sistem hibrid yang menawarkan penggunaan bahan api sangat cekap

Enjin ini digandingkan dengan transmisi Direct Shift Gear (DSG) 7 kelajuan dengan klac kering bagi memberikan pecutan 0-100km/h dalam masa 8.6 saat sebelum halaju tertinggi dihadkan kepada 230km/jam. Bacaan bahan api rasmi ialah sekitar 19.2km/liter dan penulis masih mampu mendapat 18km/liter selepas menghenjut Golf ini di lebuhraya

Bagi rekaan dalaman, Volkswagen menawarkan semula ciri butang fizikal yang sebelum ini dibuang tanpa sebab terutama di bahagian stering dan juga suis penyaman udara kembali menggunakan butang fizikal termasuklah beberapa butang di roda stering

Malah ciri sporti varian ini turut dikekalkan dengan penggunaan kusyen semi bucket dengan logo “R” untuk pemandu dan penumpang di depan. Ciri sporti ini dilengkapkan dengan roda stering diameter besar, pedal minyak dan brek aloi dan kemasan dalaman berwarna gelap selari dengan tema R-Line

Skrin multimedia yang menyokong aplikasi Android Auto dan Apple Car Play ditawarkan dalam saiz 12.9 inci, dan juga sistem pengecas tanpa wayar. Manakala paparan digital untuk pemandu dibekalkan menerusi skrin sebesar 10 inci.

Model 8.5 juga menerima sistem kunci tanpa wayar, penyaman udara 3 zon, cermin pandang belakang automatiik, dan 30 warna pilihan untuk kabin. Semua ciri ini menjadikan varian terbaru Golf 8.5 nampak lebih moden berbanding dengan varian lama.

Ini termasuklah pengalaman pemanduan yang ditawarkan menerusi sistem MHEV. Seingat penulis, ini adalah kali pertama Volkswagen Passenger Car Malaysia menawarkan ciri hibrid dalam model tawaran mereka. Walaupun bukanlah hibrid penuh (HEV), namun prestasinya mengujakan walaupun sekadar enjin 1500cc.

Pecutan 0-100km/h mungkin tidak begitu mengujakan pada 8.4 saat. Tetapi jika anda sentiasa memerah enjin ini pada kelajuan tinggi, ia seperti menawarkan kuasa dan penghantaran kuasa yang lancar setiap masa sebelum halaju dihadkan pada 230km/jam.

Proses penghantaran kuasa dari enjin ke roda menerusi transmisi DSG berjalan dengan lancar, dan kehadiran sistem MHEV menjadikan pecutan bertambah lancar dengan mengisi kekosongan kuasa ketika turbolag berlaku.

Dan pada masa yang sama sistem MHEV ini bekerjasama dengan enjin EA211 EVO, memastikan operasi start stop berjalan dengan sempurna, dan mematikan enjin ketika pemanduan santai. Malah 2 silinder akan dimatikan, dan terus memberi penjimatan bahan api sekitar 18-19km/liter sekiranya anda memandu dengan berhemah dalam mode Comfort atau ECO.

Atau jika anda memutuskan bahawa anda berjiwa kelajuan, guna sahaja mode pemanduan SPORT dan tukar gear DSG 7 kelajuan Dry Clutch dengan menggunakan paddleshifter. Anda akan dapati Golf 1.5 MHEV ini adalah sebuah kereta ala-ala sport yang praktikal untuk dipandu setiap hari dengan penggunaan bahan api kekal di bawah 200 liter sebulan

Untuk sistem brek, model ini menggunakan brek cakera bersaiz 288mm untuk roda depan dan 271mm untuk roda belakang, lengkap dengan angkup brek dari jenis terapung untuk mengurangkan geseran. Dan ia tidaklah menawarkan kuasa membrek yang luar biasa seperti model GTi dan Golf R.

Sebaliknya pedal brek berada tinggi sedikit dan penulis rasakan ada sedikit delay selepas pedal ditekan dan pelapik brek mula menggigit. Ia bukanlah disengajakan namun sebaik sahaja pedal brek ditekan, sistem MHEV akan cuba mengutip balik seberapa banyak tenaga kinetik untuk dijadikan tenaga elektrik

Apa yang membezakan Golf MHEV untuk pasaran Malaysia dengan pasaran lain ialah penggunaan sistem suspensi di bahagian belakang. Bagi sesetengah pasaran, platform MQB dengan enjin kecil akan diberikan torsion beam. Bagi pasaran Malaysia pula ia menawarkan sistem 4 Link yang lebih baik

Digandingkan dengan stering yang tangkas, hanya memerlukan satu pusingan stering sahaja untuk pusingan maksima maka pengendalian Golf MHEV masih boleh dikategorikan sebagai “fun” dan mengujakan. Namun pada masa yang sama ia tidak melantun-lantun dengan spring yang keras

Sebaliknya tetapan spring dan penyerap terasa masih solid seperti mana sebuah jentera Continental namun pada masa yang sama lebih selesa daripada model Golf GTi dan Golf R. Ia menjadi sangat relevan untuk dipandu setiap hari

Hasilnya jika anda memandu laju di selekoh, ia kekal melekat dan jika dipandu di jalan luar bandar ia tidaklah menyebabkan anda menyumpah seranah. Cuma sesekali jika anda melalui jalan tidak rata, ia tetap akan terasa seperti terhenjut sedikit. Sedikit pengorbanan yang anda perlu buat untuk pengendalian yang jitu

Dalam aspek kesealamatan aktif, sekali lagi Golf 1.5 MHEV membuat kejutan dengan dengan pakej ADAS penuh menerusi sistem IQ.Drive yang merangkumi sistem Travel Assist (ACC & Cornering Assist), atau anda boleh Cruise Control Pasif, Speed Limiter, dan Lane Centering Assist

Turut disertakan ialah evasive steering assist, blind spot monitoring, rear cross traffic alert, driver attention monitor, door opening warning dan adaptive high beam. Ciri lampu depan adaptif ini beroperasi adalah sangat mirip dengan lampu depan daripada jenama mewah Jerman yang lain.

Dengan perlindungan akhir 7 beg udara (termasuk 1 di antara penumpang dan pemandu), bagi penulis harga yang dipinta pada RM 179,990 adalah sangat munasabah. Ya mungkin pada harga ini ada yang berpendapat SUV adalah pilihan baik

Tapi bagi pemandu sejati yang inginkan sebuah kereta kompak bergaya, lincah dan senang melalui kesesakan jalan, berjenama dengan kualiti pemanduan yang jitu, tak salah anda mencuba pandu uji Volkswagen Golf 1.5 MHEV



Google ads
Back to top button