Buletin

CHERY Q MASUK PASARAN THAILAND: TIGA VARIAN, HARGA MULA SEKITAR RM52K-RM65K

Sebuah hatchback elektrik kompak terbaharu, Chery Q, dijangka menjadi antara pilihan mampu milik dalam segmen EV di Thailand dengan anggaran harga sekitar 400,000 hingga 500,000 baht (kira-kira RM52,000 hingga RM65,000).

Model lima pintu ini bakal ditawarkan dalam tiga varian iaitu Q QLICK, Q QOOL dan Q QUINT, dengan setiap satu hadir bersama pakej jaminan yang agak menarik.

Antaranya termasuk waranti kenderaan sehingga 8 tahun atau 200,000km, manakala bateri voltan tinggi dilindungi selama 8 tahun atau 160,000km. Selain itu, bantuan kecemasan 24 jam turut disediakan sehingga lima tahun.

Dari segi dimensi, Chery Q berukuran 4,195mm panjang, 1,811mm lebar dan 1,574mm tinggi dengan jarak roda 2,700mm. Ruang kargo pula boleh menampung antara 375 hingga 1,450 liter, bergantung kepada konfigurasi tempat duduk. Saiz ini meletakkannya sebaris dengan pesaing seperti BYD Dolphin dan MG 4 Electric.

Jentera ini digerakkan oleh motor elektrik pacuan roda belakang (RWD) yang menghasilkan kuasa maksimum 122hp dan tork 115Nm.

Ia menggunakan bateri jenis LFP berkapasiti 42.7kWh, mampu mencapai kelajuan maksimum 135km/j serta jarak pemanduan sekitar 400km mengikut kitaran NEDC.

Dari sudut pengecasan, sistem AC menyokong sehingga 6.6kW, manakala pengecasan pantas DC boleh mencecah 85kW, dengan kemampuan mengecas dari 30 ke 80 peratus dalam hanya 16 minit. Fungsi V2L turut disertakan bagi membolehkan tenaga disalurkan kepada peranti luaran.

Untuk pemanduan, ia dilengkapi suspensi hadapan jenis MacPherson dan belakang multi-link, bersama mod pemanduan ECO, Normal dan Sport.

Ciri luaran merangkumi lampu LED penuh, rim 17-inci, pintu belakang berkuasa elektrik serta cermin sisi lipat automatik.

Bahagian kabin pula menampilkan skrin sentuh besar 15.6-inci dengan resolusi 2.5K, panel meter digital 8.8-inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, pengecas tanpa wayar 50W serta kawalan suara.

Tempat duduk pemandu boleh dilaras secara elektrik, manakala tempat duduk belakang boleh dilipat 60:40 untuk fleksibiliti ruang.

Aspek keselamatan turut diberi perhatian dengan pelbagai sistem bantuan pemandu (ADAS) seperti brek kecemasan automatik (AEB), kawalan jelajah adaptif, bantuan kekal lorong, amaran titik buta, kamera 360 darjah serta enam beg udara.

Chery Q hadir dengan pilihan empat warna luaran termasuk putih, beige, ungu dan merah jambu pic, manakala ruang dalaman ditawarkan dalam tema hitam atau hijau matcha.

Google ads
Back to top button