
KARYA AGUNG DUCATI DIPERKENAL – 250HP DENGAN EKZOS AKRAPOVIC, 167KG
Ducati dengan rasminya telah pun memperkenalkan Ducati Superleggera V4 Centenario yang terhad kepada 500 unit sahaja bagi pasaran global.
Berbeza dengan Superleggera sebelum ini, karya terbaru dari kilang Borgo Panigale kini hadir dengan nama Centenario yang merujuk kepada ulang tahun ke-100 jenama motosikal Itali itu.
Jadi selepas seabad mewarnai dunia dua roda, Ducati menghadirkan sesuatu yang istimewa, sebuah jentera eksklusif yang tampil dengan pelbagai ciri pertama di dunia.
Pesta carbon fiber

Pertamanya Ducati Superleggera V4 Centenario muncul sebagai motosikal (road-legal) pertama dunia yang dilengkapi dengan fork depan jenis gentian carbon dan cakera brek jenis seramik. Kuasa membrek pula dibekalkan dua unit Brembo GP4-HY empat piston di hadapan.
Tidak cukup dengan itu, Superleggera V4 Centenario ini juga menawarkan kerangka, swingarm dan panel badan jenis gentian karbon sekaligus menyumbang kepada berat hanya 173kg (turun kepada 167g apabila dipadankan dengan kit perlumbaan).
Untuk rekod, fork dibekalkan Öhlins NPX 25/30 berukuran 43mm dengan fungsi compression damping dan rebound. Unit belakang pula adalah Öhlins TTX36 GP LW.
Menurut Ducati, swingarm gentian karbon itu adalah 21% lebih ringan dari swingarm aluminium. Seperti Panigale V4 generasi ketujuh, Ducati juga tidak lagi mengguna pakai swingarm jenis single-sided.
Enjin Desmosedici Stradale R 1100

Bagaimanapun, perkembangan terbesar tertumpu pada ruangan enjin yang menyaksikan Superleggera V4 ini dikuasakan unit Desmosedici Stradale R 1100 serba baharu yang berupaya menjana 228hp (meningkat kepada 247hp dalam tetapan perlumbaan) sekaligus menyumbang kepada nisbah kuasa kepada berat 1.48hp/kg.
Menariknya, Ducati telah menempatkan gear neutral di kedudukan paling bawah dan bukan lagi di antara gear satu dan dua bagi mengelakkan berlakunya insiden false neutral.
Atas kertas, enjin baharu ini adalah 3.6kg lebih ringan dari Panigale V4. Ukuran injap adalah sama, 34mm bagi intake dan 27.5mm bagi ekzos tetapi Superleggera menggunakan bahan jenis titanium seperti V4 R. Ukuran throttle body juga lebih besar, naik 4mm kepada 56mm berbanding enjin Panigale V4.
Elektronik

Seperti Panigale V4, Superleggera V4 ini juga dilengkapi dengan Ducati Vehicle Observer (DVO) yang menempatkan lebih 70 sensor yang berfungsi merakam data jentera dari semasa ke semasa.
Selain itu juga terdapat Ducati Traction Control (DTC) DVO, Wheele Control (DWC) DVO, Slide Control (DSC) dan Ducati Power Launch (DPL) DVO. Cornering ABS kini merangkumi RaceBrake Control dan Road eCBS, Engine Brake Control DVO dan Dynamic Engine Brake (DEB).
Setiap pembelian Superleggera V4 Centenario akan didatangkan dengan racing kit khas yang terdiri dari ekzos perlumbaan Akrapovic dengan perisian DAVC Race Pro, fairing yang lebih rendah dan beberapa komponen gentian karbon.
Juga terdapat kit bagi memudahkan pengguna menanggalkan lampu, tongkat dan pemegang nombor plat sekiranya mahu beraksi di litar.
GALERI: DUCATI SUPERLEGGERA V4 CENTENARIO



















