
FERRARI F8 TRIBUTO MILIK YOUTUBER DIJILAT API – CARI PENYAKIT
YouTuber terkenal, WhistlinDiesel yang sinonim dengan memusnahkan kereta, baru-baru ini sekali lagi merosakkan dua lagi kereta iaitu Ferrari F8 Tributo dan Chrysler Pacifica.
Berbeza dengan aksi beraninya yang lain, kali ini, bagaimanapun, kedua-dua kenderaan itu dimusnahkan secara tidak sengaja.
Sebagai sebahagian daripada siri di mana dia menguji ketahanan Ferrari F8, YouTuber itu menuju ke Waco, Texas dan memandu kereta mewah itu melalui ladang jagung.

Semasa sedang memandu, krew WhistlinDiesel yang menaiki Pacifica menyedari terdapat api keluar dari belakang kereta.
Krew dengan segera menyuruh Youtuber berkenaan untuk memberhentikan kenderaannya. Menerusi video berkenaan, kebakaran itu dilihat berpunca daripada ekzos sebelum ia merebak begitu cepat dan menyambar bahagian roda.
Beberapa saat kemudian, Pacifica juga terbakar tetapi tidak kelihatan seolah-olah api Ferrari merebak ke kereta tersebut. Menurutnya, ia berkemungkinan terbakar kerana enjin terlalu panas selain faktor ekzos begitu dekat dengan rumput kering.
Tanpa bekalan air, krew WhistlinDiesel segera menghubungi pihak bomba untuk memadamkan kebakaran tersebut.
Untuk rekod, selain dua kenderaan yang dijilat api sepenuhnya, sebahagian ladang juga telah terbakar.




