Buletin

TOYOTA VELOZ TAMPIL AGRESIF DENGAN PILIHAN KIT BADAN BAHARU, TAMBAHAN SEBANYAK RM3.3K

UMW Toyota Motor kini menawarkan pilihan kit badan baharu untuk Toyota Veloz dan ditawarkan pada harga RM3,300.

Pakej aerokit ini terdiri daripada spoiler bampar depan, spoiler bampar belakang, pelapik pintu sisi serta spoiler yang dipasang atas bumbung.

Secara keseluruhannya, pilihan kit badan baharu menjadikan MPV ini tampil agresif dan sesuatu yang akan menjadi pilihan golongan muda selain memberi sedikit kelainan gaya luarannya.

Turut didatangkan sebagai pilihan adalah pilihan warna dua tona hitam dengan tambahan sebanyak RM1,300.

Toyota Veloz dilengkapi sepasang lampu LED nipis bersama ciri Follow Me Home, lampu nyalaan siang (DRL) LED, roof rails yang mampu menampung beban sehingga 75kg dan rim dua tona bersaiz 17 inci serta dibalut tayar bersaiz 205/50 R17.

Ruang kabin pula membolehkan tujuh orang penumpang duduk dengan selesa. Tempat duduk baris kedua dan ketiga boleh dilipat jika perlu mengangkut barang banyak atau bersaiz besar.

Papan pemuka dilengkapi skrin sentuh bersaiz sembilan inci bersama ketersambungan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar. Ciri-ciri lain termasuklah Electric Parking Brake (EPB), pad pengecasan tanpa wayar Qi, tiga port USB dan skrin paparan multi-info LCD bersaiz tujuh inci.

Untuk aspek keselamatan, Veloz dilengkapi Toyota Safety Sense, merangkumi ciri-ciri utama seperti Pre-Collision System (PCS), Lane Departure Warning (LDW), Lane Departure Prevention dan Lane Keeping Control (LKC).

Veloz dikuasakan oleh enjin 1.5 liter (2NR-VE), berupaya menjana 105hp pada 6,000rpm dan tork 138Nm pada 4,200rpm. Ia kemudian dipadankan dengan kotak gear CVT yang kompak dan menjimatkan bahan api.

Untuk harga, Toyota Veloz boleh didapati di Malaysia dalam satu varian, berharga RM95,000 di atas jalan, tanpa insurans.

Dengan memilih kit badan baharu menjadikan jumlah harga sehingga RM98,300, dan jika anda ingin menambah dashcam belakang, ia boleh dimiliki pada harga RM380.

GALERI:

Google ads
Back to top button