Buletin

FERRARI F8 TRIBUTO, RAI ENJIN V8 TERBAIK DUNIA

Di dalam era di mana pengeluar kenderaan terpaksa menumpukan perhatian kepada alam sekitar dan undang-undang, teknologi nadi kuasa konvensional bakal terjejas.

Walaupun anda merupakan pengeluar dengan jumlah produksi tidak sampai sepuluh ribu tahun.

Atau anda mengeluarkan kereta yang banyak menghabiskan masa di dalam garaj berbanding dipandu secara harian oleh pemiliknya.

Pada masa depan, bukan sahaja kereta massa akan dikacuk dengan nadi kuasa bateri, kereta eksotik pun turut sama.

Dalam sempadan peralihan teknologi sekarang, industri dan pengguna perlu diingatkan tentang kehebatan enjin konvensional.

Ini model khas daripada Ferrari iaitu F8 Tributo yang juga model gantian kepada 488 GTB.

Ia juga dikeluarkan sebagai penghormatan kepada enjin V8 paling berkuasa dalam sejarah Ferrari.

Enjin ini berkuasa 710 hp pada 8,000 rpm dengan tork 770 Nm pada 3,250 rpm.

Ini adalah enjin V8 paling berkuasa pernah dimuatkan untuk sebuah model massa dan bukan edisi istimewa.

Enjin turbo V8 ini sebenarnya turut digunakan di dalam beberapa model lain dengan output kuasa berbeza.

Rekodnya juga hebat, menang kategori Enjin Terbaik tiga tahun berturut-turut dalam Anugerah Enjin Antarabangsa Tahunan pada 2016, 2017 dan 2018.

Malah pada tahun lalu turut menang enjin terbaik untuk dua dekad.

Benar, enjin ini diguna pada banyak model tetapi untuk F8 Tributo kuasa enjin ditingkatkan 50 hp lebih berbanding 488 GTB yang digantikan.

F8 Tributo juga 40 kg lebih ringan dengan 10 peratus pembaikan prestasi aerodinamik berbanding 488 GTB.

Selain 488 GTB, enjin F8 Tributo turut dikongsi bersama dengan Ferrari Pista.

Aerodinamik F8 Tributo dipengaruhi oleh Pista dengan S-Duct pada hud depan memberikan lebih kuasa mendapan selain daripada spoiler gentian karbon baharu.

Reka bentuk F8 Tributo pula memberikan gambaran kepada gaya bahasa masa depan Ferrari.

Masih lagi Ferrari dengan ciri-ciri segar dan beralun melalui garisan badan.

Ia tidak agresif seperti Lamborghini dengan garisan tajam dan bersegi, ia hadir lembut dan sensasi yang menampakkannya sebagai sebuah kereta super elegan.

Kenapa enjin V8 pada F8 Tributo ini penting? Pada masa akan datang, teknologi elektrifikasi bakal menjengah ruang enjin Ferrari.

Google ads
Back to top button