
FERRARI LUCE CETUS DEBAT, SAHAM JATUH SELEPAS PELANCARAN
Saham pengeluar kereta mewah Itali, Ferrari, menjunam selepas syarikat itu memperkenalkan model elektrik sepenuhnya pertama mereka yang dikenali sebagai Luce, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pelabur dan peminat jenama ikonik tersebut.
Model baharu itu diperkenalkan di Rome, Itali, dengan nama “Luce” yang membawa maksud “cahaya”, simbol kepada hala tuju baharu Ferrari dalam era mobiliti elektrik.
Namun, pelancarannya dilihat berbeza daripada identiti tradisional Ferrari yang sinonim dengan enjin pembakaran berprestasi tinggi dan reka bentuk agresif.
Sejurus selepas pelancaran, saham Ferrari di Milan merosot sekitar lapan peratus, manakala sahamnya yang disenaraikan di Amerika Syarikat turut mencatat penurunan lebih lima peratus. Dalam tempoh setahun lalu, nilai saham Ferrari juga telah susut lebih 32 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Ferrari, Benedetto Vigna, menyifatkan pelancaran Luce sebagai detik penting yang membuka lembaran baharu buat syarikat tersebut.
Menurut beliau, pembangunan teknologi baharu memerlukan pendekatan reka bentuk yang berbeza tanpa mengabaikan kehendak pelanggan sedia ada.
Ferrari percaya model elektrik itu mampu menarik kelompok pembeli baharu, di samping mengekalkan minat pelanggan setia mereka.
Luce merupakan model lima tempat duduk pertama Ferrari dan mampu memecut dari 0 hingga 96 km/j dalam kira-kira 2.5 saat, selain mencapai kelajuan maksimum sekitar 309 km/j.
Model itu ditawarkan pada harga sekitar €550,000 (lebih RM2.8 juta), dengan penghantaran kepada pelanggan dijangka bermula penghujung tahun ini.
Ferrari turut memaklumkan bahawa semua komponen utama model tersebut dibangunkan sendiri di Maranello, Itali, manakala aspek reka bentuk diserahkan kepada LoveFrom, firma rekaan yang diasaskan bekas ketua pereka Apple, Jony Ive.
Bagaimanapun, reaksi pasaran terhadap Luce dilihat kurang memberangsangkan. Penganalisis menyatakan ramai peminat Ferrari tidak selesa dengan hala tuju elektrik yang dianggap bercanggah dengan identiti tradisional jenama itu.
Ketua Strategi Ekuiti Morningstar, Michael Field, berkata kebimbangan utama pelabur ialah kos penyelidikan dan pembangunan EV yang tinggi serta risiko terhadap keuntungan syarikat jika model tersebut gagal mendapat sambutan.
Bekas pengerusi Ferrari, Luca di Montezemolo, turut mengkritik model itu dengan menyifatkannya sebagai sesuatu yang memalukan sejarah Ferrari.
Beliau dilaporkan berharap logo kuda terkenal Ferrari tidak digunakan pada model berkenaan.
Malah, Timbalan Perdana Menteri Itali merangkap Menteri Pengangkutan, Matteo Salvini, turut mempertikaikan reka bentuk dan harga Luce yang dianggap terlalu mahal serta tidak menyerlahkan identiti Ferrari sebenar.
Penganalisis automotif Oddo BHF, Anthony Dick, menyifatkan kejatuhan saham Ferrari selepas pelancaran Luce sebagai antara reaksi pasaran paling ketara terhadap reka bentuk sesebuah kereta.
Walaupun menerima kritikan, Ferrari tetap mempertahankan model tersebut. Vigna menegaskan Luce masih menawarkan emosi pemanduan yang sama seperti Ferrari konvensional, cuma dengan karakter bunyi berbeza yang datang daripada sistem kuasa elektrik.









