Artikel Pilihan

FERRARI 12CILINDRI MANUALE – TOMBOL MANUAL SIAP KLAC TAPI AUTO?

Selepas lebih sedekad meninggalkan transmisi manual, Ferrari akhirnya memperkenalkan sebuah model yang mengembalikan pengalaman memandu tiga pedal. Namun Ferrari 12Cilindri Manuale bukanlah sebuah Ferrari manual dalam erti kata tradisional.

Sebaliknya, jurutera di Maranello membangunkan satu sistem baharu dikenali sebagai Manuale by Wire, iaitu gabungan teknologi elektronik dan transmisi klac berkembar (Dual-Clutch Transmission, DCT) yang direka untuk memberikan pengalaman sebuah kereta manual tanpa kotak gear manual konvensional.

Pendekatan ini menunjukkan Ferrari cuba memenuhi kehendak pelanggan yang masih merindui pengalaman menukar gear secara manual, tetapi pada masa sama mengekalkan prestasi, kecekapan dan kebolehpercayaan sebuah transmisi moden.

Secara asasnya, Ferrari 12Cilindri Manuale masih menggunakan transmisi automatik klac berkembar lapan kelajuan yang sama seperti model 12Cilindri standard. Perbezaannya terletak pada antara muka (human-machine interface) di antara pemandu dan sistem transmisi.

Ferrari membuang paddle shifter di belakang stereng dan menggantikannya dengan tuil gear bercorak gated H-pattern bersama pedal klac sebenar. Namun begitu, tuil gear dan pedal klac tersebut tidak disambungkan secara mekanikal kepada kotak gear seperti transmisi manual tradisional.

Sebaliknya, kedua-duanya berfungsi sebagai peranti input elektronik. Setiap pergerakan tuil gear dan tekanan pada pedal klac akan dibaca oleh pelbagai sensor berketepatan tinggi sebelum dihantar kepada unit kawalan elektronik (ECU).

ECU kemudiannya mengawal aktuator elektrohidraulik dalam transmisi DCT untuk melaksanakan pertukaran gear dalam tempoh beberapa milisaat. Pendekatan shift-by-wire ini memberikan beberapa kelebihan kejuruteraan seperti jurutera Ferrari perlu menghasilkan sistem linkage mekanikal yang kompleks di antara tuil gear dan kotak transmisi.

Susun atur komponen menjadi lebih fleksibel, berat keseluruhan dapat dikurangkan, manakala ketepatan pertukaran gear dapat dikawal sepenuhnya melalui perisian. Jurutera Ferrari juga turut membangunkan algoritma khas bagi menghasilkan rasa mekanikal yang hampir menyerupai transmisi manual sebenar.

Sistem ini akan mengawal daya rintangan pada tuil gear, titik cengkaman pedal klac, masa tindak balas enjin serta kadar penghantaran tork supaya setiap pertukaran gear memberikan maklum balas yang lebih organik kepada pemandu.

Ferrari turut memprogramkan sistem supaya enjin boleh mati sekiranya pedal klac dilepaskan secara mengejut ketika rpm terlalu rendah, sama seperti sebuah kereta manual sebenar. Malah, pemandu juga boleh melakukan teknik seperti melepaskan klac secara perlahan ketika bergerak dari keadaan pegun atau menaikkan rpm sebelum pelepasan klac bagi menghasilkan pelancaran yang lebih agresif.

Walaupun transmisi sebenar mempunyai lapan nisbah gear, mod Manuale hanya menggunakan enam gear yang disusun dalam corak H tradisional. Dua gear terakhir dikekalkan sebagai gear overdrive dan hanya boleh digunakan selepas pemandu keluar daripada mod manual.

Pendekatan ini membolehkan Ferrari mengekalkan pengalaman memandu sebuah kereta sports klasik sambil memastikan kecekapan bahan api serta kelajuan maksimum model tersebut tidak terjejas.

Dari sudut prestasi, Ferrari mengekalkan enjin ikonik 6.5 liter V12 naturally aspirated yang menghasilkan sekitar 830 PS dengan garis merah mencecah 9,500 rpm. Enjin ini kekal menjadi antara enjin aspirasi semula jadi paling berkuasa dalam industri automotif moden.

Tiada pengecas turbo atau sistem hibrid digunakan, sekali gus memastikan tindak balas pendikit kekal linear dan bunyi enjin V12 masih menjadi elemen utama pengalaman pemanduan. Satu lagi cabaran kejuruteraan ialah memastikan sistem Manuale by Wire tidak menambah berat secara signifikan.

Ferrari mendakwa keseluruhan sistem baharu ini hanya meningkatkan berat sekitar 5 kilogram berbanding model standard. Ini dicapai melalui penggunaan sensor elektronik, aktuator ringan serta pengoptimuman perisian tanpa memerlukan komponen mekanikal tambahan yang kompleks.

Dari perspektif kejuruteraan automotif, Ferrari sebenarnya sedang memperkenalkan satu konsep baharu yang boleh dianggap sebagai evolusi kepada transmisi manual. Jika sistem steer-by-wire menggantikan sambungan mekanikal stereng dengan kawalan elektronik, Manuale by Wire pula melakukan perkara yang sama terhadap sistem pertukaran gear dan klac.

Ia mengekalkan pengalaman analog yang digemari pemandu, tetapi menggunakan teknologi digital bagi memastikan prestasi pertukaran gear kekal sepantas transmisi DCT moden. Oleh kerana semua input dikawal secara elektronik, Ferrari berpotensi mengubah karakter pedal klac, berat tuil gear, titik gigitan klac malah corak pertukaran gear hanya melalui kemas kini perisian.

Ini sesuatu yang mustahil dilakukan pada transmisi manual konvensional tanpa menukar komponen fizikal. Ferrari 12Cilindri Manuale akan dihasilkan dalam jumlah terhad sebanyak 1,499 unit. Walaupun ia bukan sebuah Ferrari manual sebenar dari sudut mekanikal, model ini mungkin merupakan kompromi terbaik antara nostalgia dan teknologi moden.

Google ads
Back to top button