Modifikasi

BUKAN LANCER EVO BIASA. INI EVO COUPE!

“Betul ke Evo? Awat pendek semacam? Mana pintu belakang?” soal Saadon Martopo (bukan nama sebenar) yang masih keliru dengan status kereta ini. Tapi kepada mereka yang into dengan modifikasi tiga berlian, rasanya dah boleh agak model apa…

Sebetulnya, ini adalah model Asti ZR dari keluarga Mitsubishi Mirage yang memang sebaya dengan Lancer CK kebanyakan. Ia dibeli Apink pada harga jackpot, lepas lama tersadai di sebuah laman kereta terpakai. Cermin sisi belakang pecah sebenarnya. Tauke tu pulak tak reti nak cari mana. Sebab J and A Autoparts tu Apink yang punya, belum petik jari dah dapat benda yang dicari.

Di peringkat awal, Apink agak berpuas hati dengan rupa dan prestasi kereta ini. Lama jugak ia begitu, sehinggalah hatinya terbuka untuk mengubah penampilan kereta ini secara total. Kes kena racun ler nih… Mengikut contoh yang ada, matlamat ubahsuainya agak mudah, untuk menghasilkan sebuah Evo Coupe yang merecik teruk!

Seperti yang boleh kita nampak, Apink telah menggunakan kit badan Evo V yang lengkap, termasuk tambahan cermin sisi Ganador dan skup bumbung RalliArt. Rare juga ni! Pakej diteruskan dengan dekorasi stiker badan, menyerupai jentera Evo V WRC yang digunakan oleh Tommi Makinen dan Richard Burns pada tahun 1998.

Bahagian roda menyaksikan penggunaan rim lebar Enkei RP01, yang dibalut pada tayar Federal 595 dari saiz berbeza. Dapat Enkei Tarmac Evo lagi mari nih.

Memberi karektor pengendalian lebih baik, sistem gantungan dibantu set suspensi boleh laras Tein Super Street. Sementara kuasa hentian pulak datang dari kit brek AP Racing di bahagian depan, yang digabungkan bersama brek Brembo EVO VII untuk belakang.

Kereta ini dibekalkan dengan enjin MIVEC terbalik secara standard. Ikutkan dah okey sangat. Tapi sebab niatnya nak jadi Evo, ia telah diketepikan dan diganti dengan 4G63T dari Evo V.

Buat masa ini, tidak banyak yang Apink usik kecuali penempatan sepasang camshaft Tomei serta set piston Evo VIII. Tapi kenapa penutup silinder tu ada tulis MIVEC? Itu wayang ajer…   

Untuk sistem pendesak, sedutan udara dibawa ke mulut turbin TD05 16G yang turut memegang wastegate Tail 38mm. Sebaik disejukkan, lebihan boost yang terbentuk akan dibawa keluar menerusi injap pelepas Turbosmart.

Keperluan bahan api pula dihantar oleh pam petrol Walbro, sambil dikawal unit regulator Arospeed. Memastikan jumlah kuasa yang setimpal, sistem pengurusan enjin kini diselia sepenuhnya oleh unit ECU Apexi Power FC.

Ruang dalaman datang dengan dashboard Evo V sebagai komponen utama. Ia kemudian diserikan dengan aksesori tambahan yang lain seperti meter utama RalliArt, stereng OMP-RalliArt, tombol gear RalliArt, karpet RalliArt, armrest telur, rak majalah ARP, sepasang tempat duduk Recaro TME, juga harness Takata dan Sabelt.

Rangkaian gajet pemantau pula terdiri daripada meter tengah RalliArt, unit commander Apexi Power FC, RSM Apexi, deretan meter Defi, paparan Defi OLED, serta pemasa enjin Blitz DC.

Kejayaan Apink mengangkat kereta ini sebagai sebuah Evo Coupe sebenarnya cukup menarik khususnya di kalangan mereka yang inginkan kelainan. Benda jarang jumpa, tipulah kalau tak toleh dua kali.

Ni Apink la… come on…

SPESIFIKASI

Pemilik                        Nik Hafiz Khalid (Apink)

Pengeluar                    Mitsubishi

Model                          Mirage Asti ZR (CJ5A)

Tahun                          2003/2008

Enjin Asal                   4G92 MIVEC

Modifikasi Enjin         4G63T Evo V, camshaft Tomei, piston Evo VIII, turbo TD05 16G, wastegate Tail 38mm, injap pelepas Turbosmart, paip intercooler kustom, pam petrol Walbro, regulator Arospeed, penapis udara Blitz, tangki perangkap minyak GReddy, ECU Apexi Power FC

Transmisi                    Manual

Ekzos                          Paip ekzos kustom, tip ekzos RalliArt

Luaran                         Kit badan Evo V, cermin sisi Ganador, skup bumbung RalliArt

Suspensi                      Tein Super Street

Brek                            AP Racing (depan), Brembo Evo VII (belakang)

Rim & Tayar               Enkei RP01 17-inci & Federal 595 225/40R-17 (depan), 235/40ZR-17 (belakang)

Dalaman                      Dashboard Evo V, meter utama RalliArt, stereng OMP-RalliArt, tombol gear RalliArt, karpet RalliArt, armrest telor, rak majalah ARP, tempat duduk Recaro TME, harness Takata & Sabelt, meter tengah RalliArt, commander Apexi Power FC, RSM Apexi, meter Defi, Defi OLED, pemasa enjin Blitz DC

Bengkel                       J and A Autoparts, 199 Garage, Aseawork Motorsport, Nuex Garage, Karat Besi Autoparts, Turbobee Garage, Liena Racing, Knw Accessories, Man Street Garage, Promitsu Autoparts

-PAK MAUN-

KREDIT: KAKIKERETA

GALERI

Google ads
Back to top button