Buletin

MASERATI GHIBLI RIBELLE – 200 UNIT & ENJIN BUATAN KILANG FERRARI

Sekarang ini banyak pengeluar telah berpakat dan beada di bawah satu bumbung. Contohnya ialah Kumpulan VW, Gabungan Renault-Nissan-Mitsubishi dan Zhejiang Geely Holdings.

Apabila sudah berpakat maknanya skala ekonomi boleh dicapai di mana perkongsian komponen dan platform bukan hanya untuk kereta umum tetapi juga kereta eksotik.

Sebagai contoh Lamborghini yang berada di dalam Kumpulan VW atau Ferrari yang merupakan saudara kepada Maserati.

Alangkah indahnya jika dapat diketahui komponen yang dikongsi di antara kereta umum dan eksotik.

Maserati Ghibli adalah kereta penumpang mewah dari Itali yang kini sudah memasuki generasi ketiga sejak diperkenalkan pada tahun 1967.

Ghibli generasi ketiga dilancarkan pada tahun 2013 dan untuk menghangatkan tawaran Maserati bakal memperkenalkan edisi terhad sebanyak 200 unit sahaja.

Model yang dikenali sebagai Ghibli Ribelle tersebut istimewa melalui warna NeroRibelle dan beberapa ciri unik lain. Maserati juga tidak berselindung dalam mengaitkan model ini dengan Ferrari.

Terdapat tiga pilihan enjin yang boleh dipesan pelanggan iaitu 3.0 liter V6 diesel turbo 275 hp, 3.0 liter V6 turbo berkembar petrol 350 hp dan 430 hp yang direka oleh Maserati Powertrain dan dipasang di kilang Ferrari di Maranello.

Bukan selalu kita dengar enjin kereta massa dihasilkan di kilang kereta eksotik seperti Ferrari.

Ciri lain pada Ghibli Ribelle ialah roda 19 inci Proteo dengan warna selang merah dan angkup brek juga berwarna merah.

Bahagian interior pula dihiasi papan pemuka dua warna merah-hitam yang turut meriasi kerusi sport balutan kulit premium.

Sebagai identiti mutlak edisi ini, dilekapkan logo Ribelle dari aluminium berwarna krom pada konsol tengah.

Untuk lebih eksklusif, Maserati menawarkan pakej pilihan Ribelle Plus dengan lebih kelengkapan seperti kaca privasi untuk lebih penyejukan dan kedapan bunyi, lampu utama LED Matrix adaptif, sistem bunyi Harman Kardon dan bumbung suria.

Ferrari adalah kereta eksotik tetapi ia tidak praktikal untuk pemanduan harian. Maserati Ghibli adalah jawapan untuk penggemar seni Itali.

BACA: BUGATTI CHIRON TERPAKAI INI RM 5.6 JUTA LEBIH MAHAL DARI HARGA BAHARU

BACA: MASERATI QUATTROPORTE FACELIFT – BERMULA RM778,800 SEUNIT

Google ads
Back to top button