Artikel Pilihan

88 UNIT FERRARI LUCE HABIS TERJUAL DI CHINA. ADA ONG MAA

Ferrari membuktikan bahawa kritikan di media sosial tidak semestinya mencerminkan permintaan sebenar pasaran apabila kesemua 88 unit Ferrari Luce EV yang diperuntukkan untuk pasaran China habis ditempah dalam tempoh yang singkat selepas pelancarannya.

EV Ferrari itu dijual pada harga sekitar RM2.4 juta, membuktikan masih terdapat permintaan yang kukuh daripada pelanggan berpendapatan tinggi di negara berkenaan. Ferrari Luce merupakan model elektrik sepenuhnya dengan rekaan sedan yang pertama dihasilkan oleh pengeluar supercar Itali itu.

Diperkenalkan pada Mei lalu, Luce menerima pelbagai kritikan daripada peminat automotif di seluruh dunia. Antaranya ialah reka bentuknya yang dianggap terlalu ringkas, kurang identiti tradisional Ferrari, konfigurasi empat pintu, lima tempat duduk dan menggunakan rangkaian kuasa elektrik sepenuhnya.

Reaksi negatif terhadap pelancaran Luce turut memberi kesan kepada prestasi syarikat apabila harga saham Ferrari pernah merosot lebih enam peratus dalam tempoh sehari selepas model itu diperkenalkan.

Tidak lama selepas itu, Ferrari turut melakukan rombakan pengurusan dengan melantik bekas Ketua Pegawai Eksekutif BMW Itali, Massimiliano Di Silvestre, sebagai Ketua Pegawai Pemasaran dan Komersial baharu bagi menggantikan Enrico Galliera.

Walaupun menerima pelbagai kecaman di internet, sambutan yang diterima di China membuktikan pelanggan sebenar masih mempunyai keyakinan terhadap model tersebut.

Ferrari sebelum ini memaklumkan bahawa Luce menerima tempahan yang memberangsangkan di beberapa pasaran, dan kejayaan menjual kesemua 88 unit yang diperuntukkan untuk China dilihat mengukuhkan lagi dakwaan tersebut.

Sebelum ini turut timbul dakwaan bahawa sesetengah pengedar Ferrari menggalakkan atau mewajibkan pelanggan membeli Luce terlebih dahulu bagi meningkatkan peluang mendapatkan model Ferrari edisi terhad pada masa hadapan.

Ferrari bagaimanapun menafikan dakwaan berkenaan dan menegaskan bahawa Luce hanya dijual kepada pelanggan yang benar-benar berminat, bukannya dijadikan syarat untuk memperoleh model eksklusif lain.

Secara keseluruhannya, kejayaan Ferrari Luce EV di China membuktikan bahawa persepsi di media sosial tidak semestinya menggambarkan keadaan sebenar pasaran. Walaupun Luce menerima pelbagai kritikan daripada peminat automotif, pelanggan yang ultra kaya juta menunjukkan minat yang tinggi, sekali gus menjadikan Luce satu lagi model Ferrari yang mencatatkan jualan memberangsangkan.

Google ads
Back to top button