Buletin

FORD BAKAL LANCAR PICKUP EV RM141K, CABAR CYBERTRUCK PADA 2027!

Usaha Ford Motor Company untuk menawan semula pasaran trak elektrik semakin jelas apabila syarikat itu mendedahkan perkembangan terbaharu projek yang digelar sebagai “Universal Electric Vehicle”.

Misi utamanya cukup berani, menghasilkan sebuah trak pikap elektrik bersaiz sederhana pada harga sekitar AS$30,000 (kira-kira RM141,000) menjelang tahun 2027.

Walaupun maklumat penuh masih dirahsiakan, lakaran reka bentuk yang dipertontonkan sudah cukup untuk mencetuskan perbualan.

Daripada imej awal itu, trak berkenaan menampilkan gaya futuristik dan aerodinamik berbanding Tesla Cybertruck. Tiada rekaan tajam ala origami atau panel bersudut ekstrem, sebaliknya pendekatan lebih membulat dan mesra arus perdana – serta jauh lebih mampu milik.

Bahagian hadapan memperlihatkan lampu LED menegak yang tirus, logo Ford bercahaya, serta bukaan udara mendatar pada bampar.

Cermin hadapan pula memanjang hingga ke bonet dan mengalir ke spoiler bumbung belakang yang terbina sekali, memberi siluet yang licin.

Walaupun nampak moden, trak ini dipercayai kekal dalam saiz sekelas Ford Ranger dengan konfigurasi kabin berkembar – praktikaliti masih menjadi keutamaan.

Fokus besar pada aerodinamik

Pasukan aerodinamik memainkan peranan penting dalam pembangunan model ini, termasuk kepakaran bekas jurutera Formula 1.

Matlamatnya jelas: kurangkan rintangan angin secara maksimum supaya bateri yang lebih kecil masih mampu menawarkan jarak pemanduan kompetitif, sekali gus menekan kos pengeluaran.

Antara perincian yang diberi perhatian ialah reka bentuk bumbung melengkung yang mengurangkan pusaran angin di bahagian ruang kargo.

Cermin sisi pula 20 peratus lebih kecil berbanding biasa, menyumbang tambahan sekitar 1.5 batu (2.4 km) jarak pemanduan. Panel bawah badan khas menambah lagi kira-kira 4.5 batu (7.2 km).

Secara keseluruhan, Ford menganggarkan pendekatan ini mampu memberikan tambahan sehingga 50 batu (80 km) jarak pemanduan berbanding trak bersaiz sama dengan bentuk konvensional. Dalam dunia EV, angka itu cukup signifikan.

Kurang komponen, lebih efisien

Selain aerodinamik, aspek pembuatan turut diberi tumpuan. Ford akan menggunakan struktur aluminium “unicast” bersaiz besar, konsep yang seakan-akan kaedah gigacasting dipelopori Tesla.

Jika model seperti Ford Maverick menggunakan 146 komponen struktur, trak baharu ini dikatakan hanya memerlukan dua bahagian utama sahaja.

Hasilnya, berat keseluruhan dapat dikurangkan sehingga 27 peratus berbanding pesaing. Kurang sambungan dan kurang komponen juga bermakna penggunaan robot di barisan produksi dapat diminimumkan, sekali gus meningkatkan kecekapan dan kualiti pemasangan.

Dari sudut kejuruteraan dalaman, pendawaian trak ini adalah 4,000 kaki (1.2 km) lebih pendek berbanding Ford Mustang Mach-E, sekali gus menjimatkan kira-kira 22 paun (10 kg) berat.

Ia akan menggunakan sel bateri lithium iron-phosphate (LFP) jenis prismatik serta sistem elektrik 48V berasingan untuk fungsi sokongan.

Menariknya, projek ini diketuai oleh Alan Clarke, bekas eksekutif Tesla yang berpengalaman lebih sedekad dalam pembangunan EV. Ini menunjukkan Ford bukan sekadar mahu bersaing, tetapi benar-benar mahu mencabar dominasi pemain sedia ada.

Nama lama kembali?

Dari segi penjenamaan, Ford masih berahsia. Namun pemfailan paten terbaharu membayangkan kemungkinan kebangkitan semula nama Ford Ranchero. Sama ada nama klasik itu akan digunakan atau tidak, masih belum disahkan.

Apa yang pasti, trak elektrik mampu milik ini dijadualkan tiba pada 2027 dan akan menjadi pembuka jalan kepada lebih banyak EV harga mesra pengguna daripada Ford, termasuk sebuah sedan elektrik yang kini berada dalam perancangan.

Jika semuanya berjalan lancar, Ford bukan sahaja mahu menyaingi Cybertruck – tetapi mahu menewaskannya di gelanggang harga dan kepraktisan.

Google ads
Back to top button