
FORD BAKAL LANCAR KERETA ELEKTRIK BAWAH RM150K MENJELANG 2027
Ketua Pegawai Eksekutif Ford, Jim Farley, mengumumkan bahawa syarikat pembuat kereta itu akan melancarkan kenderaan elektrik (EV) berharga $30,000 (RM141,546) menjelang awal 2027.
Farley berkata, kereta elektrik rahsia itu akan siap dalam tempoh kira-kira dua setengah tahun lagi.
Meskipun Farley tidak mendedahkan sebarang maklumat lanjut mengenai kereta itu, beliau mengesahkan ia direka untuk bersaing dengan EV buatan China seperti BYD, serta kereta elektrik kompak yang sedang dibangunkan oleh Tesla.
Tambahnya lagi, Amerika Syarikat perlu mengubah kecenderungan terhadap kenderaan besar bagi membantu negara itu beralih ke arah masa depan yang lebih bersih dan berasaskan elektrik.

Ford kini memberi keutamaan kepada pembuatan EV kecil kerana ia tidak berbaloi dari segi kewangan untuk mengalihkan tenaga kenderaan besar kepada elektrik, jelas Farley.
“Untuk mencapai EV yang menguntungkan, kita perlu membuat perubahan radikal… perkara pertama perlu kita lakukan ialah menumpukan semua modal kita kepada EV yang lebih kecil dan mampu milik,” kata ketua Blue Oval itu.
“Kenderaan EV yang besar dan gergasi ini tidak pernah menguntungkan. Bateri sahaja berharga $50,000 (RM235,910). … Bateri tidak akan pernah mampu milik.”
Farley menegaskan jika Ford tidak memberi tumpuan untuk menghasilkan EV yang menguntungkan dan mampu milik dalam tempoh lima tahun akan datang, pengembangan China akan terus berleluasa tanpa kawalan.