Buletin

EV TAK LAKU, PEKERJA JADI KORBAN – FORD BUANG RIBUAN TENAGA KERJA

Ford mengumumkan langkah mengecilkan operasi di kilang utamanya di Cologne, Jerman, dengan pemotongan sehingga 1,000 jawatan ekoran permintaan kenderaan elektrik (EV) yang semakin lemah.

Bermula 2026, operasi pengeluaran akan dikurangkan daripada dua syif kepada hanya satu syif.

Langkah ini sebahagian daripada strategi penjimatan kos yang diperkenalkan sejak tahun lalu. Sebelum ini, ia telah mencetuskan protes pekerja termasuk mogok pertama dalam sejarah kilang tersebut.

Tambahan baharu ini akan meningkatkan jumlah pengurangan pekerjaan kepada sekitar 2,900 orang menjelang akhir 2027, kebanyakannya melibatkan jawatan pentadbiran dan pembangunan.

Menurut Ford, proses pengurangan tenaga kerja akan dibuat secara sukarela, sama ada melalui skim pampasan atau persaraan awal.

Perbincangan lanjut bersama wakil pekerja akan menentukan jumlah sebenar. Pemberhentian pertama dijangka bermula seawal Januari depan, dengan jumlah tenaga kerja keseluruhan turun kepada sekitar 7,600 orang.

Sebagai perbandingan, kilang itu pernah menggaji hampir 20,000 pekerja pada hujung dekad 2010-an.

Pengumuman ini dibuat hanya sebulan selepas Ford meraikan ulang tahun ke-100 di Jerman. “Kami sedar kesan besar kepada pekerja dan akan berusaha memberikan sokongan sebaik mungkin,” kata jurucakap syarikat itu.

Di Eropah, peralihan Ford kepada SUV elektrik seperti Explorer dan Capri yang menggantikan model ikonik Fiesta dan Focus tidak mencapai sasaran.

Jualan kenderaan baharu di Jerman tahun 2024 turun 14.3 peratus berbanding tahun sebelumnya. Malah, dalam tempoh sedekad, pegangan pasaran Ford jatuh daripada hampir 7 peratus kepada bawah 3 peratus, sebelum pulih sedikit kepada 4.5 peratus.

Sebaliknya, strategi di Amerika Syarikat lebih positif. Sepanjang 2024, Ford menjual 2.08 juta kenderaan, meningkat 4.2 peratus, pencapaian terbaik sejak 2019. Model elektrik dan hibrid mula mendapat sambutan, manakala trak pikap F-150 kekal sebagai penjual terlaris di pasaran.

Google ads
Back to top button