Buletin

JUALAN EV MENINGKAT, HANYA TESLA JATUH MENJUNAM

Banyak telah diperkatakan tentang jualan kenderaan elektrik (EV) yang jatuh terutamanya dari Amerika Syarikat.

Namun, kemerosotan ini bukan hanya boleh diambil kira melalui Tesla sahaja, tetapi pasaran EV secara keseluruhan.

Pada tahun 2024, jualan suram EV dapat dikesan daripada permintaan yang lebih lemah dan jualan rendah bagi kenderaan Tesla.

Pengeluar terkemuka ini menyaksikan penurunan mendadak dalam jualan tahun ini berbanding suku pertama 2023.

Bagaimanapun, pengeluar lain sebenarnya mengalami peningkatan yang sihat dalam jualan EV mereka.

Pasaran kelihatan menggabungkan penurunan Tesla dengan kemerosotan keseluruhan pasaran, tetapi data daripada Bloomberg dan Cox Automotive menunjukkan sebaliknya.

EV daripada Ford, Mercedes-Benz, BMW, Toyota, Rivian, Hyundai, dan Kia telah menyaksikan lonjakan jualan.

Ford mencatat pertumbuhan tertinggi dengan model seperti F-150 Lightning dan Mustang Mach-E, sementara Hyundai dan Kia mencatat pertumbuhan paling sedikit menerusi model seperti Ioniq 6 dan EV6.

Mengikut data Bloomberg, jualan EV bagi beberapa pengeluar utama meningkat dengan ketara: Ford meningkat 86.1 peratus, Toyota berkembang 85.9 peratus, Mercedes-Benz meningkat 66.9 peratus, Rivian meningkat 58.8 peratus, BMW meningkat 57.8 peratus, dan Hyundai/Kia meningkat 56.1 peratus.

Toyota secara keseluruhannya mencatatkan peningkatan sebanyak 86% dalam setahun kerana Lexus tidak mempunyai sebarang EV untuk dijual pada awal tahun 2023.

Namun, Toyota sahaja meningkat 11.7 peratus, yang tetap signifikan memandangkan ia hanya mempunyai satu model EV.

Nissan juga menyaksikan pertumbuhan jualan EV sebanyak 1.3 peratus dengan model Ariya dan Leaf. Walaupun pertumbuhan ini kecil, ia tetap menunjukkan peningkatan.

Sebaliknya, Tesla menyaksikan penurunan dalam pertumbuhan jualan sebanyak 13 peratus. Ini menegaskan bahawa penurunan dalam jualan Tesla tidak mencerminkan kegagalan keseluruhan pasaran EV, tetapi lebih kepada cabaran spesifik yang dihadapi oleh Tesla.

Maka dengan itu, pasaran EV secara keseluruhan masih menunjukkan pertumbuhan yang positif dan signifikan.

Google ads
Back to top button