Buletin

FORD F-100 ELUMINATOR, PIKAP KLASIK KUASA ELEKTRIK!

Ford sekarang memang sibuk dengan penawaran kenderaan elektrifikasi. Mustang Mach-E ditonjolkan dengan baik dan Ford turut menawarkan model hibrid untuk pikap Maverick dan F-150.

Terbaru Ford tampil dengan pikap custom F-100 Eluminator yang menggunakan motor elektrik Eluminator dari Ford Performance.

Menariknya motor elektrik itu boleh dibeli dalam kotak (crate) oleh pelanggan melalui dalam talian. Pikap itu pula diubah suai dari model F-100 tahun 1978.

Penawaran itu membolehkan pengguna memasang motor elektrik pada kenderaan mereka. 

Eluminator adalah motor elektrik dalam kotak (e-crate) pertama dari Ford Performance Parts dan sama seperti motor cengkaman (traction motor) Mustang Mach-E GT. 

Pikap F-100 Eluminator direka dan dihasilkan oleh Ford Performance dan dibina dengan kerjasama MLe Racecars. Casis dibuat secara custom oleh Roadster Shop.

Berapakah kuasa F-100 Eluminator? 480 hp dan tork 859 Nm! Dua motor elektrik memacu roda depan dan belakang dengan pikap lama yang dimodenkan ini.

Warna yang lembut dan tenang pada pikap ini ialah Avalanche Gray dengan riasan Cerakote Copper dan disiapkan oleh Brand X Customs.

Bahagian dalam juga kemas dengan bahagian papan pemuka aluminium dari JJR Fabrication manakala balutan kulit perang alpukat (avocado-tanned) oleh MDM Upholstery.

Roda pula jenis three piece dari Forgeline dengan ukuran 19×10 inci dan dibalut tayar Michelin® Latitude® Sport 275/45-19.

Motor elektrik dengan nombor M-9000-MACH-E boleh dibeli dari pengedar alat ganti Ford atau melalui laman web Ford Performance.

Harganya ialah $3,900 (RM16,206) dan disasarkan kepada pelanggan yang mahu memasangnya pada pelbagai jenis kenderaan sama ada kereta vintaj, pikap atau SUV.

Satu idea bagus dan menarik jika dapat dibuat di negara kita.

Motor elektrik itu berkuasa 281 hp dan tork 430 Nm dan halal untuk digunakan (street-legal) di 50 buah negeri di Amerika Syarikat.

Untuk masa akan datang, Ford Performance merancang untuk membangunkan lebih banyak komponen rangkaian kuasa Eluminator bersama-sama pengeluar komponen berprestasi.

Di antaranya ialah sistem bateri, pengawal dan penyongsang (inverter) cengkaman bagi menawarkan pakej yang lengkap.

Ford F-100 Eluminator Concept dan motor elektrik Eluminator

Google ads
Back to top button