Buletin

FORD FOCUS ST 2022, 2.3L ECOBOOST 6 KELAJUAN MANUAL!

Memang pengeluar kereta hari ini sibuk dengan teknologi elektrifikasi. Bukan apa, beberapa buah negara sudah pun memaklumkan pada masa akan datang penjualan kereta dengan enjin pembakaran dalaman bakal diharamkan.

Pengharaman itu sebenarnya menjejaskan model berprestasi kerana enjin pembakaran dalaman mempunyai keasyikan tersendiri. 

Deruman ekzos dan penukaran gear manual merupakan faktor keseronokan pemanduan model berprestasi. Bab prestasi tiada masalah kerana model elektrik mempunyai lonjakan kuasa yang spontan.

Sementara peraturan itu belum dikuatkuasakan, pengeluar kereta masih berminat untuk mengeluarkan model berprestasi.

Ford pada 14 Oktober mengumumkan Focus 2022 dengan pelbagai perubahan dalam dan luar. Apa yang menarik ialah Focus ST terus ditawarkan dan bukti varian berprestasi masih relevan.

Lebih menarik Focus ST yang dibangunkan Ford Perfomance ini kekal dalam dua gaya badan iaitu hatchback lima pintu dan wagon.

Secara amnya, Focus 2022 tampil dengan lampu LED baharu dan lampu kabus terbina dalam (built-in) untuk wajah lebih kemas.

Apa yang ketara ialah bahagian depan Focus 2022 nampak lebih fokus dengan logo oval biru Ford dipindahkan dari atas bamper ke bahagian tengah gril.

Pada bahagian dalam, Focus 2022 menggunakan sistem info hiburan SYNC 4 terkini dan skrin sentuh lebih besar berukuran 13.2 inci.

Sistem itu mempunyai fungsi kemaskini over the air dan sambungan tanpa wayar Apple CarPlay dan Android Auto.

Untuk Focus ST 2022, paling jelas menarik perhatian ialah warna Mean Green yang sebelum itu digunakan pada Fiesta ST dan Puma ST.

Berbeza dengan varian lain, bahagian bawah gril depan Focus ST menggunakan corak sarang lebah.

Rekaan keseluruhan bampar depan dengan gril dan bahagian sisi yang besar menyerlahkan gayaan segak dan garang varian berprestasi ini.

Juga baharu ialah roda aloi saiz 18 inci dan pembeli turut ditawarkan naik taraf kepada roda 19 inci.

Pada bahagian dalam, Focus ST menggunakan kerusi sport yang dibangunkan sendiri oleh Ford Performance.

Kerusi ini memberikan sokongan dan keselesaan tinggi sama ada untuk menghantar anak ke sekolah atau di litar lumba.

Bukan setakat sporti, ianya juga diiktiraf oleh organisasi kesihatan Aktion Gesunder Rücken e.V. (AGR) yang mempromosikan kesihatan belakang yang baik.

Dari segi rangkaian kuasa, Focus ST kekal menggunakan enjin 2.3 liter EcoBoost dengan kuasa 280 PS dan tork 420 Nm.

Enjin itu menggunakan pengecas turbo twin-scroll dengan teknologi anti lengahan (anti-lag). 

Dipadankan bersama enjin ialah kotak gear manual enam kelajuan dengan fungsi pemadan rev (varian X Pack) untuk gear ke bawah yang lebih lancar dan konsisten.

Pembeli juga ditawarkan pilihan tujuh kelajuan automatik dengan penganjak gear pada stereng. 

Dari segi pengendalian, Focus ST menggunakan pembeza gelincir terhad (limited-slip differential) jensi elektronik yang membantu meningkatkan prestasi di selekoh dan pecutan.

Turut dilengkapi ialah teknologi Continuously Controlled Damping yang mengawasi stereng, pembrekan dan suspensi untuk melaras respon redaman (damping) bagi memberikan keselesaan yang optimum dan kawalan di selekoh. 

Pembeli yang mahukan sesuatu lebih istimewa boleh dapatkan pakej X pack dengan komponen khas seperti lampu utama LED Dynamic Pixel, roda 19 inci dan mod pemanduan Track.

Mod itu mempunyai talaan stereng berbeza, pendikit lebih agresif dan ekstra kelonggaran dari sistem ESC.

Kepada yang berminat, tidak ada cara lain untuk memiliki Focus ST kecuali diimport dari United Kingdom. Bukan sahaja negara kita, banyak lagi negara lain tidak ditawarkan dengan Focus dan Fiesta baharu.

BACA: FORD FIESTA ST 2021, 1.5L 3 SILINDER TURBO ECOBOOST!

BACA: FORD GT HERITAGE EDITION, MODEL CUN UNTUK HORMAT FORD GT 1964

BACA: FORD JUAL MOTOR ELEKTRIK DARI MUSTANG E-MARCH. HARGA MURAH DARI ENJIN CIVIC TYPE-R

Google ads
Back to top button