Motosikal

AVETA V13R MENDARAT DI MALAYSIA. RM6,688 SEUNIT, 4 WARNA PILIHAN

Aveta Global Marketing melancarkan model terbaharu V13R di pasaran negara.

Motosikal terbaharu itu ditawarkan pada harga bermula RM6,688 dengan empat warna pilihan.

Empat warna pilihan tersebut merupakan biru, merah, perak dan hitam.

Model V13R mendapat sentuhan rekaan moden dan sporty dilengkapi lampu DRL pada bahagian hadapan, muffler ekzos lebih menarik serta paparan meter analog.

Motosikal memenuhi spesifikasi EURO4 itu memiliki berat 88 kg dengan dimensi 1,960mm (panjang), 660mm (lebar), 1,115mm (tinggi).

Jarak lega bumi pula ialah 130mm manakala jarak roda adalah 1,310mm.

V13R mendapat khidmat enjin 4 lejang silinder tunggal SOHC 2 injap 127cc dengan sistem penyejukan udara.

Ia mampu menjana kuasa 9.1hp @ 7,500rpm dan tork 6Nm @ 7,500rpm dipadankan transmisi manual empat kelajuan.

Kapcai terbaharu itu didatangkan sistem brek cakera 220mm dengan kaliper dwi-omboh (depan) dan brek dram untuk roda belakang.

Sistem suspensi pula dilengkapi fork teleskopik dan sistem absober di belakang.

Ia turut mendapat rim aloi sporty dibaluti tayar tanpa tiub 80/90 di bahagian hadapan manakala 110/70 (belakang).

Ciri-ciri lain termasuk soket USB dan sistem kunci konvensional.

Motosikal V13R akan memasuki pasaran bermula 20 November ini dan dijual di 150 pengedar sah Aveta seluruh negara.

Google ads
Back to top button