Buletin

FORD F-150 2021 – PIKAP LEGENDA SARAT TEKNOLOGI CANGGIH!

Untuk tempoh lebih empat dekad, Ford F-150 merupakan pikap terlaris di Amerika Syarikat. F-150 bukan pikap semata-mata tetapi sudah menjadi kenderaan gaya hidup yang serba boleh.

Pikap legenda ini pertama kali diperkenalkan melalui model F-3 pada 1948 dan kini memasuki generasi ke-14 seperti yang dipertontonkan pada 26 Jun 2020.

Dari segi reka bentuk, F-150 tampil dengan evolusi model sebelumnya dan lebih canggih seperti pengenalan rangkaian kuasa hibrid.

Ford mereka bentuk F-150 untuk menjadi model paling kukuh, produktif dan berkuasa di dalam segmen pikap tugas ringan bersaiz penuh (light-duty full-size pickup truck) di pasaran.

Pikap ini menggunakan rangka (frame) kotak penuh yang diperbuat daripada keluli kekuatan tinggi dengan badan daripada aluminium kekuatan tinggi dan kukuh (military grade).

Walaupun kelihatan sama seperti generasi sebelum, panel badan F-150 telah direka semula dengan mengekalkan imej rugged, berani dan kukuh yang merupakan identitinya sejak dahulu.

Selain gril yang nampak perkasa, lampu LED menyerlahkan imej moden pikap ini termasuk lampu belakang dengan teknologi sama.

Satu ciri menarik ialah F-150 baharu merupakan model paling aerodinamik sepanjang generasinya.

Ciri itu disumbang oleh gril jenis aktif yang boleh dibuka tutup, penghadang udara (air dam) automatik juga jenis aktif, kabin (cab) baharu dan geometri pintu kargo yang kesemuanya berfungsi bagi mengurangkan seretan (drag) dan memperbaiki tahap penggunaan bahan api.

Bahagian dalam pula tampil ala sedan mewah dengan perincian dan penggunaan teknologi. Model XL dan XLT (standard dan pertengahan) dilengkapi skrin sentuh lapan inci.

Model XLT (siri atas dan selanjutnya) pula lebih besar dengan skrin 12 inci yang membolehkan pengguna membahagikan paparan dan fungsi kawalan secara serentak seperti navigasi, muzik atau fungsi kenderaan.

Selain skrin pada tengah papan pemuka, visual meter untuk bacaan pemandu canggih melalui paparan digital dan turut memberi pelbagai maklumat seperti mod pemandu, navigasi mengikut turutan dan data semasa luar jalan raya (off-roading data).

Pembeli turut ditawarkan Meja Kerja (Work Surface) yang sesuai untuk menandatangani dokumen, menggunakn komputer riba 15 inci atau menikmati makanan semasa berhenti.

Aksesori itu ditawarkan untuk varian F-150 XL hingga Limited yang menggunakan kerusi jenis kapten atau panjang (bench).

Berikut pula rangkaian kuasa Ford F-150, apa yang menarik? Teknologi hibrid!

  • 3.5 liter PowerBoost V6 dengan sistem hibrid.
  • Satu-satunya pikap jenis tugas ringan (light duty) saiz penuh dengan sistem hibrid penuh.
  • Ditawarkan untuk varian F-150 XL hingga Limited.
  • Sasaran jarak setangki minyak (EPA) sekitar 700 batu (1,126km).
  • Motor elektrik 35 kilowatt (47 hp).
  • Bateri lithium ion 1.5 kilowatt dipasang di bawah pikap dan tidak mengganggu ruang kabin dan kargo. 
  • Sistem ini mampu mengekalkan penggunaan bateri pada suhu luar yang melampau atau di bawah beban berat.

Turut ditawarkan ialah enjin konvensional seperti 2.7 liter EcoBoost V6 petrol turbo berkembar, 3.0 liter V6 Power Stroke V6 diesel turbo, 3.5 liter V6 EcoBoost petrol dan beberapa lagi pilihan termasuk nadi tanpa turbo.

Satu lagi ciri menarik pada F-150 ialah pembekalan tenaga elektrik yang boleh digunakan untuk peralatan berkuasa atau mengecas bateri. Ini ciri penting memandangkan fungsi F-150 sebagai kenderaan kerja.

Selain pikap dengan enjin hibrid, F-150 juga canggih dengan kemaskini sistem operasi secara rangkaian (over-the-air/OTA). Fungsi yang dilengkapi seperti penyelenggaran berkala, mengurangkan perjalanan ke pusat servis untuk pembaikan.

Kebanyakan kemaskini OTA mampu disiapkan di bawah dua minit.

Dari segi keselamatan, model asas F-150 XL kini mempunyai lebih banyak fungsi yang dipasang sebagai ciri standard.

Di antaranya Bantuan Pra-Perlanggaran dengan Brek Kecemasan Automatik dan Pengesanan Pejalan Kaki. Ia berfungsi bagi mengelak kemungkinan berlaku perlanggaran di antara kenderaan lain.

Lagi ciri standard lain ialah lampu puncak automatik, lampu hadapan hidup / mati secara automatik, kamera pandang belakang dengan Dynamic Hitch Assist.

Apa yang menarik tentang Dynamic Hitch Assist ialah pemandu boleh menyambung treler belakang melalui visual yang disediakan pada skrin di dalam F-150.

Undurkan pikap mengikut garisan dan sudut yang diberikan pada skrin dan ini memudahkan banyak kerja dan mudah tanpa bantuan individu di luar.

Secara kesimpulannya, F-150 serba lengkap, ada pelbagai varian dan ciri canggih mengikut kategori pembeli dan dengan itu tidak mustahil pikap ini akan terus mendominasi carta jualan untuk tahun-tahun akan datang.

Ford F-150 sebagai pikap Amerika Syarikat, dipasang di Kilang Trak Ford di Dearborn, Michigan dan Kilang Pemasangan Kansas City di Claycomo, Missouri. 

Jualan pikap ikonik ini dijadual pada musim luruh 2020 (September hingga Disember).

BACA: FORD MUSTANG MACH 1 KEMBALI, ENJIN 5.0L V8 BERKUASA 480HP!

BACA: RISAU RIM DICURI? FORD BUAT NAT DARI SUARA PEMILIK!

BACA: INI KOS PENJAGAAN SEBUAH FORD MUSTANG!

Google ads
Back to top button