Buletin

FORD FIESTA ST 2021, 1.5L 3 SILINDER TURBO ECOBOOST!

Ford Fiesta, model hatchback kompak yang pernah dipasarkan di negara kita satu ketika dahulu. Fiesta yang berada di pasaran sekarang ialah dari generasi ketujuh dan mula dikeluarkan pada tahun 2017.

Bukan sahaja negara kita, Fiesta Mk VII turut tidak dijual di pasaran Asia lain dan negara besar seperti Amerika Utara, dan Amerika Selatan.

Di Eropah, Fiesta merupakan model popular dan model baharu terlaris di United Kingdom sejak dari tahun 2009 sehingga tahun 2020!

Terbaru Ford memperkenalkan barisan model facelift Fiesta yang terdiri dari pelbagai gayaan badan dan varian iaitu Trend, Titanium, Active (ala SUV) dan Fiesta Van dengan tiga pintu dan khusus untuk para peniaga.

Dalam pelbagai varian tersebut, Ford tidak ketinggalan (semestinya!) memperkenalkan varian sporti Fiesta ST.

Varian ini dibangunkan oleh Ford Performance dan kini lebih berkuasa dengan peningkatan 10 peratus daya kilas kepada 320 Nm.

Fiesta ST digerakkan enjin 1.5 liter 3 silinder turbo (EcoBoost) dengan kuasa 200 PS pada 6,000 rpm. Daya kilas 320 Nm pula bergerak dari 1,600 rpm hingga 4,000 rpm.

Pecutan dari 0 km/j hingga 100 km/j memerlukan 6.5 saat manakala kelajuan maksimum ialah 230 km/j.

Dari segi pengendalian, Fiesta ST menggunakan suspensi tiub berkembar dari Tenneco di depan dan gegelung inovatif vectoring spring ciptaan Ford yang dibuat menggunakan proses cold form (suhu bilik).

Penggunaan tersebut membolehkan Fiesta ST mengambil selekoh (turn-in) dengan lebih jitu dan mempunyai kawalan badan lebih tinggi.

Untuk lebih cengkaman dan prestasi di selekoh, Ford menawarkan LSD mekanikal jenis Quaife. 

Apa lagi yang menarik? Selain mod pemanduan Normal dan Sport, Fiesta ST dilengkapi mod Track tanpa kawalan cengkaman dan tetapan fungsi ESC pada mod wide-slip untuk pemanduan di litar.

Pada luaran, Ford mengemaskini Fiesta ST dengan bampar depan baharu dengan gril corak sarang lebah dan laluan angin sisi lebih besar. sarang lebah warna hitam kilat.

Gril atas dan laluan angin Fiesta ST menggunakan warna Chrystaline Grey manakala komponen aerodinamik lain seperti spoiler bawah, skirt sisi, spoiler dan diffuser belakang senada dengan warna badan.

Turut baharu ialah warna pilihan iaitu Mean Green. Untuk roda, pelanggan diberi pilihan saiz 18 inci dalam warna Magnetite gelap jika tidak mahukan roda standard 17 inci.

Pada bahagian dalam Ford menggantikan kerusi Recaro kepada kerusi sport baharu

Kerusi baharu ini memberikan lebih sokongan kepada pemandu semasa pemanduan berprestasi dan keselesaan di jalanan. 

Kerusi itu juga mempunyai fungsi 14 pelarasan untuk membantu pemandu mencari posisi sesuai. Balutan kerusi dibuat menggunakan kemasan Sensico dan sulaman berwarna merah.

Berkenan? Hampir mustahil untuk memiliki Fiesta ST jika anda tidak mengimportnya dari UK atau pengimport kenderaan membawanya masuk dari sana.

BACA: FORD FOCUS ST EDITION, INI MEMANG HATCHBACK ‘BEST’!

BACA: FORD GT HERITAGE EDITION, MODEL CUN UNTUK HORMAT FORD GT 1964

BACA: FORD JUAL MOTOR ELEKTRIK DARI MUSTANG E-MARCH. HARGA MURAH DARI ENJIN CIVIC TYPE-R

Google ads
Back to top button