Buletin

POLIS JOHOR GUNA KAMERA ICOPS. BOLEH KESAN SAMAN TERTUNGGAK, WARAN TANGKAP, PLAT PALSU

Polis Johor kini menggunakan kamera pintar yang dikenali sebagai ICOPS bagi mengesan pesalah trafik di negeri tersebut.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, empat kamera tersebut sudah dibekalkan kepada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor sejak awal tahun ini.

“Empat kamera ICOPS yang kini digunakan di tiga daerah iaitu Kota Tinggi, Johor Bahru Selatan dan Iskandar Puteri, manakala satu lagi kamera digunakan di lebuh raya.

“Penggunaan kamera ini dapat mengesan kenderaan yang mempunyai saman tertunggak, waran tangkap, nombor pendaftaran palsu dan rekod jenayah kenderaan curi.

“Data kenderaan akan diperoleh melalui saringan nombor pendaftaran menerusi ICOPS yang kemudian dihubungkan dengan pangkalan data ICOPS JSPT,” katanya selepas Op Khas Bersepadu Kenderaan Perdagangan di Plaza Tol Skudai pada Ahad.

Operasi bersepadu bermula jam 8.30 pagi itu melibatkan 51 anggota terdiri daripada Unit Peronda Bukit Aman, Jabatan Alam Sekitar ( JAS) Johor, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor dan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS).

Sebanyak 93 saman telah dikeluarkan hasil pemeriksaan ke atas 152 kenderaan perdagangan dalam tempoh tiga jam operasi dijalankan.

Menurut Ayob Khan, Op Bersepadu Kenderaan Perdagangan terbabit dilakukan selepas pihaknya menerima aduan orang awam berhubung isu kenderaan perdagangan yang masih ingkar patuh undang-undang. – Sinar Harian

Google ads
Back to top button