Artikel Pilihan

SUIS PENGUBAHSUAI SUDUT LAMPU, BILA NAK PAKAI? KE HIASAN?

Zaman-zaman dulu, kalau anda nak ubah sudut cahaya lampu depan kereta maka anda perlukan sebatang pemulas skru Philips bagi mengubah sudut lampu. Kereta anda perlu diparkir menghadap dinding dan cara mengubah sudut lampu ialah dengan memusing skru pelaras khas lampu.

Silap ubah jadi tinggi atau terlalu rendah. Proses ini sebenarnya renyah dan memakan masa. Apabila memandu pada waktu malam berseorangan, sudut cahaya lampu berada dalam kedudukan yang baik. Tapi sebaik sahaja anda memuatkan 5 penumpang dan bagasi untuk perjalanan jauh maka cahaya lampu akan dihalakan ke atas

Keadaan ini akan membuatkan pemandu dari arah bertentangan menjadi silau, silap haribulan dia ingat anda menggunakan lampu tinggi sedangkan anda menggunakan lampu rendah sahaja. Kalau pasang lampu tinggi, besar kemungkinan makhluk asing yang memandu UFO pun boleh terbabas.

Atas sebab inilah kereta-kereta moden yang dipasang dengan lampu yang lebih terang seperti menggunakan lampu projektor dan juga lampu LED dipasang dengan suis khas yang boleh digunakan untuk melaraskan sudut pancaran cahaya dari dalam kereta. Anda tidak perlu lagi menggunakan pemulas skru untuk mengubahnya

Bergantung pada jenis kereta suis ini akan dipasang pada papan pemuka atau pada suis lampu utama sendiri. Suis rotari ini akan dipasang dengan nombor yang bermula dari 0-5 dan ada juga dari 0-3. Kedudukan nombor 0 menunjukkan sudut lampu berada pada sudut yang paling tinggi.

Semakin anda menambahkan nombor dari 0 kepada 1, sudut lampu ini akan semakin ke bawah. Jadi semakin ramai penumpang dan banyak barang yang dibawa maka suis ini perlu diubah kepada angka yang lebih besar supaya sudut suluhan lampu semakin ke bawah.

1 Lampu, 2 Aktuator, 3 Sensor Depan, 4 Suis lampu, 5 Control unit, 6 Sensor belakang, 7 RPM sensor, 8 Load

Tapi sebenarnya ramai pemandu tak usik sangat butang ini melainkan pemandu dari arah depan memberikan lampu tinggi. Ketika itu barulah kita sedar bahawa suluhan lampu depan kita ini sebenarnya tinggi. Jadi bagi mengatasi masalah tersebut sesetengah kereta mahal akan dilengkapi dengan sistem yang akan menngubah sudut lampu secara automatik

Sistem ini ada 2 kategori iaitu semi statik dan juga sistem dinamik. Sistem semi statik akan mengubah sudut lampu dengan mendapat bacaan sudut perubahan pada kedudukan alat pengesan yang berada di bahagian belakang kereta. Berapa banyak sudut bahagian belakang terjungkit akan dibaca dan data tersebut dihantar pada lampu depan untuk diubah

Bagi sistem dinamik, ia lebih canggih berbanding dengan semi statik kerana ia akan membaca pergerakan kereta seperti memecut dan membrek. Sewaktu memecut, bahagian depan kereta akan terangkat ke depan jadi alat pengesan akan memberikan maklumat supaya lampu menyuluh ke bawah.

Sewaktu membrek, bahagian belakang kereta akan terangkat dan lampu akan menyuluh ke bahagian bawah. Ketika ini sistem akan memberi arahan kepada lampu untuk mengubah sudut lampu ke arah atas. Kedua dua sistem ini tidak memerlukan input daripada pemandu untuk beroperasi.

Kami tidak pasti apakah model kereta yang menggunakan sistem ini, tapi sistem ini telah dibangunkan oleh Hella. Kebanyakan sistem yang digunakan di Malaysia masih memerlukan input daripada pemandu. Jadi rajin-rajinkanlah mengubah sudut lampu anda sekiranya memandu dengan muatan penuh.

Google ads
Back to top button