Buletin

FORD FOCUS ST EDITION, INI MEMANG HATCHBACK ‘BEST’!

Di negara kita tiada kelibat model generasi baharu Ford seperti Focus dan Fiesta yang pernah ditawarkan beberapa tahun dahulu. Senario itu bukan sahaja di pasaran tempatan, jiran sebelah seperti Thailand pun serupa.

Ford dilihat lebih selesa menawarkan pikap Ranger dan SUV Everest di pasaran tempatan.

Penawaran Focus, Fiesta, Mondeo dan Mustang secara rasmi sebelum ini adalah episod yang telah tersimpan di dalam rekod Ford di negara kita.

Walaupun hanya bergantung kepada dua model, jenama Ford tetap mendapat sambutan seperti yang boleh dilihat melalui jumlah Ranger di jalan raya.

Lebih menarik apabila Ranger Raptor yang berharga lebih RM 200 ribu juga menerima sambutan baik.

Di luar negara seperti Eropah senarionya 360 darjah berbeza hasil dari jenama Ford yang begitu kukuh. Bukan sahaja model kebanyakan, Ford turut menawarkan varian berprestasi ST Focus dan Fiesta.

Terbaru Ford memperkenalkan edisi istimewa untuk Focus ST sedia ada dengan beberapa pembaharuan pada suspensi, roda, bahagian luar dan dalam.

Varian yang dikenali sebagai Ford Focus ST Edition itu ditawarkan di beberapa pasaran terpilih termasuk United Kingdom (UK).

Untuk varian ini, Ford memberi tumpuan kepada pengendalian dan merupakan versi Focus ST generasi keempat paling dinamik pernah dihasilkan.

Pengendalian dengan suspensi boleh laras


Ini bukan model tangkap muat, Focus ST Edition didatangkan dengan konfigurasi casis dari kilang yang telah diuji secara ekstensif dan dibangunkan oleh Ford Performance di litar Nürburgring Nordschleife, Jerman.

Bahagian depan dan belakang edisi ini 10 mm lebih rendah berbanding Focus ST standard dan jika belum sesuai, pemilik mempunyai baki 20 mm lagi untuk dilaras. 

Set suspensi boleh laras dua hala dibuat oleh KW Automotive dengan peredam tiub berkembar stainless steel (twin-tube stainless steel damper housings) dan gegelung (spring) powder coat dalam warna Ford Performance Blue.

Kekenyalan gegelung ditingkatkan lebih 50 peratus berbanding Focus ST standard. 

Suspensi Focus ST mempunyai 12 lantun (jounce) dan 16 redaman kembali (rebound) yang menyediakan lebih kawalan kepada pemandu untuk respon semasa selekoh. 

Satu perkara menarik, pemilik Focus ST Edition dibekalkan dengan dokumen teknikal yang mengandungi saranan tetapan suspensi untuk pelbagai keadaan pemanduan termasuk di Nürburgring. 

Memang jelas Ford bukan setakat menjual dan mahu pemilik menikmati Focus ST Edition sepuasnya. 

Ford mengurangkan beban tak berpegas (unsprung mass) sebanyak 10 peratus setiap sudut melalui penggunaan roda aloi 19 inci ringan dan tayar Michelin Pilot Sport 4S. 

Penggunaan roda yang ringan turut membantu meningkatkan cengkaman dan tindak balas tayar.

Selain itu, Focus ST Edition dilengkapi eLSD yang menggunakan klac yang diaktifkan secara hidraulik.

Sistem itu berupaya membahagikan semula sehingga 100 peratus daya kilas (yang ada) kepada roda lain bagi mendapatkan lebih cengkaman sebagai tindak balas kepada gelinciran roda.

Lebih canggih, cepat dan tepat berbanding LSD mekanikal konvensional, sistem itu berupaya membuat pelarasan daya kilas yang lebih awal berdasarkan input dari enjin dan sensor kereta.

Enjin EcoBoost dan anti-lag

Focus ST Edition digerakkan enjin aluminium 2.3 liter EcoBoost dengan pengecas turbo tatal berkembar (twin-scroll) inersia rendah dan dipadan bersama transmisi enam kelajuan manual.

Kemasukan udara (air intake) dan sistem ekzos dioptimumkan dengan hasil kuasa 280 PS pada 5,500 rpm dan tork 420 Nm dari 3,000 rpm hingga 4,000 rpm.

Teknologi anti-lag pada model ini mempunyai persamaan dengan Ford GT dan pikap F-150 Raptor dan membantu dari segi penghantaran kuasa lebih cepat dalam mod Sport dan Track.

Pecutan dari 0 hingga 100 km/j memerlukan 5.7 saat dan kelajuan maksimum ialah 249 km/j.

Mod pemanduan boleh laras eLSD dan pelbagai fungsi 



Melalui Mod Pemanduan yang disediakan, pemandu boleh melaras pelbagai tetapan seperti eLSD, pemetaan pendikit (throttle mapping), stereng bantuan kuasa elektronik (EPAS) dan karakteristik ESC.

Satu seleksi istimewa iaitu mod Track yang menyajikan respon paling jitu dan kebebasan (mengikut sistem ESC) supaya pemandu dapat menikmati kereta mereka secukupnya.

Warna Azura Blue

Warna biru pada badan Focus ST Edition dikontra dengan perincian hitam kilatan tinggi pada bumbung, bahagian gril atas, sirip sisi bampar depan, cermin sisi, spoiler bumbung dan panel diffuser belakang.

Pada bahagian dalam, model ini dipasangkan kerusi sport Recaro dan sulaman warna biru Ford Performance. 

Sulaman sama turut diguna pada stereng kulit ST, pad lutut konsol tengah, sarung tombol gear dan alas kaki. Butang penghidup enjin mempunyai huruf mewah dan sama seperti logo ST.

Ada lagi Focus ST termasuk wagon

Ford Focus ST Edition adalah siri terbaru dalam keluarga Focus ST termasuk varian wagon.

Model sedia ada mempunyai dua pilihan enjin iaitu 2.3 liter EcoBoost berkuasa 280 PS dan enjin diesel 2.0 liter EcoBlue dengan kuasa 190 PS.

Harga macam mana? Bukan semua negara dapat

Di UK Ford Focus ST Edition dijual dari £35,785 (RM206,719) dan seperti yang dikatakan di awal artikel bukan semua negara ditawarkan model ini dan di Eropah sendiri pun untuk pasaran terpilih sahaja!

BACA: FORD GT HERITAGE EDITION, MODEL CUN UNTUK HORMAT FORD GT 1964

BACA: FORD GT MK II, RM4.96 JUTA SEUNIT (UNTUK LITAR SAHAJA)

BACA: FORD MUSTANG KERETA SPORTS PALING LARIS DI DUNIA PADA 2020

Google ads
Back to top button