Buletin

ROLLER COASTER PALING LAJU DI DUNIA TERPAKSA TUTUP. PENGUNJUNG ALAMI RETAK TULANG

Roller coaster paling laju di dunia di Taman Tema Fuji-Q, Jepun, terpaksa ditutup selepas enam pengunjung didakwa mengalami kecederaan retak tulang.

Menurut laporan The Sun, empat daripada individu yang cedera itu mendakwa mengalami patah tulang belakang dan leher.

Roller coaster Do-Dodonpa dibina pada 2001 mampu meluncur pada kelajuan 180.24 km/j dalam masa 1.56 saat.

Permainan roller coaster itu digantung sementara sehingga dimaklumkan kelak berikutan kes kecederaan yang dilaporkan kepada pihak berkuasa pada 17 Ogos lalu.

Menurut pengurusan taman tema, pihaknya baharu sahaja menerima laporan kecederaan retak tulang meskipun roller coaster itu sudah beroperasi hampir dua dekad lalu.

Pada 2017, permainan itu diubah suai bagi menjadikannya lebih laju iaitu dari 170 km/j hingga mencecah 180.24 km/j.

Bagaimanapun, sehingga Disember lalu, pihaknya tidak mendapat sebarang laporan kecederaan serius.

Pihak pengurusan taman tema itu memaklumkan tiada masalah teknikal dikesan selepas siasatan dijalankan.

Syarikat pembinaan permainan roller coaster itu, Sansei Technologies memohon maaf kepada pengunjung yang cedera kerana tidak mengetahui punca sebenar kecederaan itu berlaku. –BBC/TheSun

Google ads
Back to top button