,
Buletin

FORD KENA SAMAN LAGI. KOTAK GEAR MANUAL PADA MUSTANG ROSAK

Hanya selepas beberapa bulan Ford bersetuju untuk membayar jutaan dollar kepada pemilik Focus dan Fiesta kerana masalah transmisi PowerShift, pengeluar itu kini berdepan dengan satu lagi saman.

Kali ini melibatkan masalah pada kotak gear manual enam kelajuan yang dipasang pada Mustang. Pemilik model Mustang dan Mustang GT dari tahun 2011 hingga 2020 sebenarnya sudah lama mengadu kepada Ford tentang isu yang melanda kotak gear Getrag MT82.

Bengang dengan maklum balas Ford, mereka mula mengambil tindakan undang-undang. Dalam saman berkenaan, plaintif mendakwa kotak gear tersebut mudah rosak. Mereka juga menyalahkan Ford kerana tidak membaikinya, walaupun sudah mendapat aduan selama hampir sepuluh tahun.

Transmisi MT82 dan MT82-D4 pada Mustang didakwa mempunyai kecacatan yang membuatkannya gearnya tergelincir, tersengguk dan gear tidak masuk seperti sepatutnya.

Bukan itu sahaja, para plaintif saman Gregoria vs. Ford Motor Company menyatakan masalah itu masih ada walaupun selepas dibaiki. Ia berikutan masalah reka bentuk yang menyebabkan shift forks, shift shafts, synchronizer dan klac gagal berfungsi dengan baik.

Mereka mendakwa hanya menunggu masa untuk semua alat ganti itu perlu diganti semula.

Saman itu menyatakan Ford tahu tentang masalah berkenaan secara dalaman apabila mengedarkan servis buletin kepada para pengedarnya.

Buletin tersebut mengarahkan pomen supaya mengeringkan dan mengisi semula minyak transmisi. Selain perlu menggantikan beberapa alat ganti seperti shift forks, hab synchronizer, suis posisi klac, tuil penukaran gear dan banyak lagi.

Menurut dokumen yang disediakan, NHTSA telah menerima 363 aduan terhadap kotak gear Getrag, walaupun ia tidak menemui sebarang risiko keselamatan.

Ford juga mengambil langkah tertentu untuk menyelesaikan masalah itu, biarpun ia hanya menjejaskan tiga peritus daripada keseluruhan kotak gearnya.

Kebanyakan masalah itu berlaku ketika cuaca sejuk dan kereta tidak dipanaskan sewajarnya.

Ford memberitahu masalah itu boleh menyumbang kepada kehausan biasa dan menafikan wujud sebarang kecacatan pada transmisi berkenaan.

Tags
Google ads
Back to top button