Artikel Pilihan

REMAJA TERIMA HADIAH ISTIMEWA SELEPAS BANTU BERSIHKAN KAWASAN – SEBUAH FORD MUSTANG!

Demonstrasi jalanan yang melanda Amerika Syarikat telah mengakibatkan kerugian bernilai jutaan dollar. Banyak kerugian harta benda dan kemusnahan berlaku. Ada Porsche GT3 RS yang menjadi mangsa vandalisme, Mercedes-AMG GT kena bakar dan Dodge Challenger Hellcat menjadi mangsa kecurian. Banyak lagi kenderaan lain yang musnah tapi takkan nak senaraikan satu-satu kot.

Ini cerita pasal remaja yang berhati mulia dan penuh sifat tanggungjawab. Bukan macam setengah orang kita yang makan buah-buahan tempatan lepas tu campak kulit atas lebuh raya. Monyet pun tak buat macam tu, sebab monyet tak ada kereta kot?

Anthony Gwynn Jr. ialah seorang remaja lelaki dari Buffalo, New York yang turut berada di kawasan kejiranan yang dilanda protes jalanan. Selepas keadaan kucar kacir reda, Gwynn mengambil sebatang penyapu dan terus memulakan kerja-kerja pembersihan di kawasan tersebut secara solo. Beliau sendiri tidak menyangka tindakan tersebut akan mengubah hidup beliau selama-lamanya.

Gwynn memulakan kerja-kerja pembersihan bermula seawall jam 2.00 pagi selepas protes berakhir. Beliau terus berkerja selama 10 jam tanpa henti dan apabila pekerja pembersihan tiba, mereka mendapati yang Gwynn telah menyelesaikan semua kerja pembersihan secara solo.

Gwynn, yang berusia 18 tahun memberitahu CNN yang beliau mendapat inspirasi untuk membersihkan kawasan terbabit selepas melihat ia tercemar teruk selepas protes berakhir. Selepas berita tentang usaha Gwynn tersebar di media ramai pihak mula membuka mata dengan usaha murni beliau.

Antara yang tampil memberikan penghargaan ialah Matt Block (kalau kat Malaysia ni mungkin orang panggil Mat Balak kot) yang terus membuat keputusan untuk menghadiahkan Gwynn sebuah Ford Mustang convertible milik beliau. Best kereta ni tahu, kami pun dah banyak kali lenjan dalam games Need for Speed dulu-dulu.

Block terbaca dalam laman FB Gwynn yang bertanya tentang tips untuk membeli kereta dan terus menawarkan kereta beliau secara percuma. Lebih bermakna lagi kerana rupa-rupanya mendiang ibu Gwynn yang telah meninggal dunia juga pernah memiliki sebuah Mustang convertible berwarna merah. Sesungguhnya perancangan tuhan tu memang penuh rahsia.

Seorang lagi lelaki tempatan, Bob Briceland terdengar berita tersebut dan terus menawarkan perlindungan insuran percuma untuk kereta baru Gwynn itu selama setahun. Brice menyatakan yang beliau ingin membuktikan yang masih ramai insan yang berhati mulia dalam komuniti tersebut dan bukannya semua menyokong rusuhan dan punca-punca yang membawa kepada kekacauan tersebut.

Gwynn mengucapkan terima kasih kepada kedua-duanya dan masih ingin berkhidmat kepada masyarakat setempat walaupun kini memiliki kereta baru hasil rezeki tergolek beliau. Tak nak join komuniti MLM ke Gwynn?

Google ads
Back to top button