Artikel Pilihan

FORD MUSTANG GTD 800 KUASA KUDA, KETUA MLM TERBARU

CEO Ford iaitu Jim Farley telah mendedahkan kepada media automotif di Monterey projek rahsia yang sedang dibangunkan oleh Ford buat masa ini, sebuah supercar yang diasaskan daripada kereta sport Ford popular iaitu Ford Mustang GTD. Berikut ialah ringkasan berkenaan dengan supercar terbaru daripada Ford ini:

1. Idea supercar ini datang selepas Jim melihat Ford Mustang GT3 yang dibangunkan oleh syarikat Multimatic, sebuah jentera perlumbaan yang dibangunkan khusus bagi mencatatkan masa pusingan di Nurburgring dalam tempoh kurang 7 minit pada tahun 2021. Mustang GTD ini akan memberikan saingan sengit pada Porsche GT3, Mercedes AMG dan Aston Marting

2. Walaupun masih dalam proses R&D, Ford telah berkongsi beberapa data teknikal berkenaan dengan Mustang GTD termasuklah lebar 100mm berbanding Mustang generasi ke 7, enjin 5200cc V8 Supercaj yang menghasilkan 800 kuasa kuda, transmisi 8 kelajuan klac berkembar pada gandar belakang, active aero sama yang digunakan pada jentera F1, suspensi boleh laras, rim Magnesium, ekzos titanium dan brek gentian karbon Brembo

3. Bagi merealisasikan projek Mustang Supercar ini, Ford dan Multimatic mengumpulkan satu pasukan kecil jurutera terbaik mereka dimana pasukan ini perlu membentangkan idea projek pada setiap hari Isnin selepas waktu kerja rasmi. Secara tidak langsung ia merupakan kerja kedua mereka selepas kerja hakiki di Ford dan Multimatic.

4. Enjin V8 merupakan enjin tradisi yang biasa digunakan oleh Mustang, namun ia menghadapi masalah agihan berat. Meletakkan enjin di bahagian belakang merupakan satu perkara yang cuba dielakkan bagi memelihara tradisi Mustang, jadi mereka memutuskan transmisi 8 kelajuan berada di belakang cesi manakal enjin akan berada di deapn cesi bagi mendapat agihan berat 50:50 dengan semua kuasa dihantar menerusi aci pacu yang dihasilkan daripada gentian karbon

5. Pasukan R&D juga memutuskan untuk menggunakan tayar selebar 325mm pada roda depan manakala roda belakang menggunakan 345mm. Bagi memenuhi tuntutan aerodinamik yang lebih bagus, hampir keseluruhan bahagian atas Ford Mustang GTD dihasilkan dengan menggunakan gentian karbon.

6. Proses pembangunan Mustang GTD juga dibuat dengan pantas, hanya memakan masa 18 bulan sahaja dari idea kepada bentuk fizikal. Proses penjimatan kos pembangunan turut diambil kira dengan menggunakan semula rekaan pendawaian daripada model Mustang generasi ke 7.

7. Ford Mustang GTD membawa maksud Gran Turismo Daytona, iaitu salah satu kelas yang digunakan dalam perlumbaan. Maka tidak hairanlah ia menggunakan suspensi belakang pushrod, penyerap hentakan Multimatic DSSV serta sistem suspensi semi aktif.

8. Untuk kemasan dalaman pula, Ford meminta Recaro menghasilkan kusyen khas untuk Mustang GTD serta menawarkan paddleshift yang dihasilkan daripada logam titanium. Mustang GTD bakal dipasarkan pada tahun 2025 dengan harga mencecah 300,000 ribu USD (RM 1.4 juta)

Google ads
Back to top button