Artikel Pilihan

CZINGER 21C BLACKBIRD – DINAMAKAN SEMPENA PESAWAT PALING LAJU DI DUNIA (SR-71 BLACKBIRD)

Czinger 21C Blackbird baharu sahaja diperkenalkan kepada umum dan ia memang kelihatan sesuai dengan namanya. Berbekalkan nadi berkuasa 1,350hp, supercar ini merupakan satu penghargaan kepada pesawat terbang paling laju di dunia, SR-71 Blackbird. Cuma ia tidak boleh terbang je.

Blackbird asal merupakan pesawat peninjau ikonik yang dihasilkan oleh Lockheed khusus untuk tujuan pengintipan. Ia mampu terbang dengan kelajuan maksima 3,704 kmj menjadikannya pesawat terbang paling laju sehingga kini. Untuk rekod kelajuan maksima  F22 Raptor ialah 2414 kmj. Masih laju masih tak dapat menandingi kelajuan Blackbird.

Okey kat mana persamaannya antara keduanya. Pertama sekali mestilah catnya yang berwarna hitam dan dinamakan Jet Black. Blackbird asal tak berkilat okey. Nak mengintip apa kejadahnya kalau cat berkilat-kilat.

Hujung paip ekzosnya juga direka menyamai ‘afterburner’ jet dan adalah sikit-sikit tema warna oren macam afterburner di bahagian kokpit. Begitu juga dengan rekabentuk rimnya. Tengok jejari rim pun dah nampak bentuk SR-71.

Selain dari benda-benda kecil tu, supercar ini sendiri pun sudah cukup hebat dengan enjin 2.9 liter turbo berkembar V8 yang digandingkan dengan motor-motor elektrik. Kombinasi kedua trenkuasa menghasilkan sekitar 1,233 hp tapi untuk versi Blackbird ini ia ditingkatkan kepada 1,350hp.

Czinger akan membina 80 unit 21C dan antaranya mungkin termasuk beberapa unit Blackbird. Syarikat ini mendakwa Blackbird mampu membuat pecutan 0-402-0 kmj hanya dalam masa 27 saat. Ya, 27 saat tuan-tuan. Lebih laju daripada pemegang rekod dunia sekarang, Koenigsegg Regera dengan 28.81 saat.

Kalau nak tahu hebat tak hebat kenalah tunggu ujian sebenar dengan catatan masa rasmi. Apa lagi, kalau korang jenis super kaya, super bongkak dan tak ada pasangan, inilah supercar yang paling sesuai untuk korang. Mewah, hebat dan cuma boleh seorang je.

Google ads
Back to top button