Buletin

FORD SIERRA RS COSWORTH NAK DILEPASKAN, ANGGARAN RM209K – RM316K!

Kereta ikonik dan legenda disenaraikan lagi di dalam TheMarket.co.uk, platform bidaan kenderaan klasik di United Kingdom. Kali ini, kereta yang sangat istimewa iaitu Ford Sierra RS Cosworth versi pra-pengeluaran.

Unit ini adalah sebahagian daripada 4P Ford atau Pre-Production Prove Out Programme sebelum program pengeluaran skala penuh bermula dan satu daripada sepuluh unit versi pemanduan kanan yang pernah dihasilkan.

Tujuh unit dijadikan kereta rali dan tiga sebagai kereta jalanan. Daripada tiga unit tersebut, inilah satu-satunya yang diketahui masih ada hingga kini.

Lebih baik lagi, unit ini telah disahkan oleh kakitangan bahagian Kejuruteraan Kenderaan Khas Ford (SVE).

Unit ini didatangkan dalam warna Moonstone Blue (kebanyakan berwarna putih) dan hampir pasti bahawa ia adalah salah satu kereta ujian dan kegunaan media.

RS Cosworth merupakan model ikonik era-80an dengan enjin turbo 204bhp, kotak gear Mustang dan pacuan roda belakang. Dari segi prestasi kereta ini mempunyai kelajuan maksimum sekitar 241 km/j dan pecutan dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 6.2 saat.

Bahagian luar kereta dipertingkat dengan kit badan dan spoiler yang direka untuk aerodinamik dan suspensi berdasarkan pengalaman perlumbaan.

Unit ini dibina kira-kira sembilan bulan sebelum pengeluaran rasmi bermula dan didaftarkan di UK pada 30 Oktober 1985.

Ia kemudian dieksport ke New Zealand oleh pemiliknya pada tahun 1994. Unit ini direhatkan dalam simpanan selama empat tahun sementara enjin dibina semula.

Selepas bertukar tangan sebanyak dua kali, pemilik sekarang membelinya pada 2009 dan kemudian berbelanja besar dan menghabiskan banyak masa bagi menyempurnakan kereta ini di dalam fasiliti dengan suhu terkawal.

Beberapa komponen seperti pelapik bumbung, sensor elektrikal dan sebagainya telah ditukar dan dengan seberapa boleh menggunakan alat ganti tulen Ford bagi mengekalkan keasliannya. 

Stereng tiga rongga masih asli dan begitu juga dengan radio dan pemain kaset jenama Ford dan panel kawalan audio berasingan. Unit ini masih lagi mempunyai pelekat pengedar Ford pada cermin belakang.

Dihantar semula ke UK pada tahun 2016, unit ini berada di dalam keadaan sangat baik dan pemiliknya berjaya mendapatkan semula nombor pendaftaran yang asal.

Turut dibekalkan bersama kereta ialah sijil MOT yang luput pada Jun 2021 dan pelbagai invois dan resit bagi mengesahkan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan yang dilakukan.

Jarak pemanduan Ford Sierra RS Cosworth ini ialah 68,000 batu (109,435km) dan dengan keadaan sebegini baik berapakah nilainya ?

Anggaran jualan ialah dari £39,000 (RM209,236) hingga £59,000 (RM316,537) dan tempoh bidaan secara dalam talian bermula dari 23 hingga 30 Julai 2020.

BACA: DAVID BECKHAM PERNAH MILIKI ASTON MARTIN INI, PEMILIK BAHARU DICARI – RM2.35 JUTA!

BACA: FORD MUSTANG MACH 1 KEMBALI, ENJIN 5.0L V8 BERKUASA 480HP!

BACA: FORD F-150 2021 – PIKAP LEGENDA SARAT TEKNOLOGI CANGGIH!

Google ads
Back to top button