Buletin

INI BUKAN AUDI BIASA, INI e-tron, GUNA KUASA ELEKTRIK

Audi yang dipaparkan ini nampak seperti mana-mana model buatan Jerman itu dari segenap segi sama ada depan, sisi dan belakang. Memang sama kecuali ia dikuasakan nadi elektrik sepenuhnya.

Ini adalah Audi e-tron SUV yang merupakan kenderaan elektrik (EV) pertama dari Audi dan mula dikeluarkan pada tahun 2018.

Di United Kingdom, e-tron ditawarkan dalam tiga varian iaitu Technik, Sport, S Line dan kini dua lagi tambahan iaitu Black Edition dan Vorsprung.

Selain varian baharu, turut ditawarkan ialah dua pakej kuasa iaitu 50 quattro dan 55 quattro.

Audi e-tron Black Edition

Beza di antara dua varian tersebut ialah jarak pemanduan sehingga 313.8 km (WLTP) untuk 50 quattro manakala 55 quattro lebih jauh sehingga 397.5 km.

Kelima-lima varian e-tron SUV dilengkapi roda aloi dengan saiz paling kecil 20 inci, suspensi udara suai (adaptive), lampu LED, Audi Virtual Cockpit dan skrin sesentuh MMI Touch dengan dua monitor.

Sistem MMI boleh dikawal menggunakan jari atau arahan suara dan dipertingkat dengan platform maklumat hibur (infotainment) MIB 3 yang lebih berkuasa.

Berikut ialah ciri-ciri e-tron SUV Black Edition S line dan S line:

  • Lampu utama dan belakang LED.
  • Cermin privasi.
  • Suspensi udara sport.
  • Roda aloi Audi Sport 21 inci.
  • Roda aloi Audi Sport 21 inci warna hitam licau anthracite.
  • Warna hitam pada gril Singleframe Audi, sisipan (insert) bampar depan dan belakang, perapi (trims) tingkap, rel bumbung dan bingkai cermin sisi (Black Edition).
  • Kerusi sport dengan pelarasan bahagian belakang (lumbar) berkuasa.

Berikut pula ciri-ciri e-tron SUV Vorsprung:

  • Roda aloi Audi Sport 22 inci dengan kemasan titanium kusam (matt).
  • Angkup brek warna jingga (oren).
  • Lampu LED digital matrix.
  • Cermin sisi tanpa cermin dan diganti dengan kamera definisi tinggi dan menayangkan visual pada skrin OLED yang ditempatkan pada bahagian dalam kedua-dua belah sisi pintu.
  • Pembeli boleh menggantikannya dengan cermin sisi konvensional jika perlu.
  • Stereng dengan fungsi pelarasan elektrik dan pemanas.
  • Kerusi sport dengan jahitan berbentuk berlian.
  • Sistem audio Bang & Olufsen dengan 19 pembesar suara.
  • Penutupan pintu berkuasa.
  • Papar pandu (head-up display).

Dari segi pengecasan, 80 peratus kuasa boleh dicapai dalam masa 30 minit menggunakan pengecas pantas 120kW dan 150kW pada model e-tron 50 dan 55.

Audi e-tron Black Edition

Menggunakan kemudahan pengecas AC di rumah atau dengan keupayaan 7kW, cas penuh e-tron 50 quattro memerlukan sekitar 10.5 jam dan 14 jam untuk e-tron 55 quattro.

Pengecas 7kW itu didatangkan secara percuma untuk tempahan sebelum 2021.

Dari segi prestasi, e-tron Black Edition 50 quattro dan Vorsprung 50 quattro berkongsi kuasa iaitu 230 kW, 313 ps dengan tork 540 Nm. Pecutan dari 0 hingga 100 km/j memerlukan 6.8 saat dan kelajuan maksimum ialah 190 km/j.

Memandangkan e-tron adalah sebuah SUV elektrik, tiada gandar konvensional diperlukan dan quattro atau pacuan semua roda dipacu menggunakan dua motor elektrik, satu di depan dan satu di belakang.

Google ads
Back to top button