Buletin

GEN Z TERPERANGKAP BNPL: SUSAH NAK BELI KERETA!

Seorang peniaga kereta Malaysia dari kalangan Gen Z baru-baru ini menegur rakan sebayanya atas tabiat berbelanja secara berlebihan menggunakan kaedah buy now, pay later (BNPL), yang dikatakan menjadi punca ramai permohonan pinjaman mereka ditolak.

Menurut peniaga berkenaan, BNPL memang memudahkan pengguna membeli sekarang dan bayar kemudian, tetapi jika tidak dikawal, ia boleh menjerumuskan pengguna muda ke dalam hutang jangka panjang.

“Ramai antara kamu masih belum ada kereta pertama, tetapi lebih kurang 90% permohonan pinjaman bank ditolak sebab BNPL. Saya jual kereta baru, jadi saya nampak sendiri bagaimana tabiat kewangan Gen Z semakin merisaukan,” katanya.

Beliau menambah, penggunaan BNPL yang berterusan boleh menghalang rancangan masa depan, termasuk melancong, kerana ramai yang terperangkap dalam kitaran menambah pembelian baru sambil masih membayar hutang terdahulu.

Rata-rata pengguna media sosial bersetuju dengan amaran ini, menyifatkan BNPL sebagai “pembunuh perlahan” kepada kewangan peribadi.

“Saya tengah habiskan baki bayaran BNPL dan akan padam semua aplikasi BNPL saya. Memang betul, kaedah ni bahaya kalau tak kawal,” tulis seorang pengguna.

Seorang lagi menambah: “Orang muda sekarang terlalu ikut nafsu membeli, tapi pendapatan tak seimbang dengan perbelanjaan.”

Pengalaman ini menekankan pentingnya Gen Z lebih bijak mengurus kewangan dan menilai kemampuan diri sebelum terjebak dalam pembelian berhutang. – The Sun

Google ads
Back to top button