Buletin

JUAL KERETA JADI DRAMA: GAJI RM3K, SELERA NAK MILIKI MERCEDES RM300K

Setiap orang tentu ada impian memiliki kereta mewah. Tak salah berangan, malah boleh jadi motivasi untuk bekerja lebih keras. Namun, pepatah lama “ukur baju di badan sendiri” tetap relevan — angan-angan mestilah seiring dengan kemampuan.

Baru-baru ini, satu kisah tular di Threads mengenai seorang pemuda yang cuba membeli kereta mewah Mercedes walaupun gajinya tidak mencukupi.

Penjual kereta bernama Umar berkongsi pengalaman perbualannya dengan pelanggan tersebut, yang bermula biasa tetapi berakhir dengan rasa pening kepala.

Umar meminta pelanggan tersebut mengisi maklumat pendapatan, dan terkejut apabila mendapati pemuda tersebut hanya berpendapatan gaji pokok RM1,500, dengan gaji bersih sekitar RM3,000.

Walaupun gaji sebegitu, si pemuda berangan ingin membeli Mercedes bernilai lebih RM300K!

Umar kemudian menerangkan kepada pemuda itu bahawa dengan pendapatan sebanyak itu, dia memerlukan bayaran pendahuluan lebih RM200,000 serta penjamin untuk mendapatkan pinjaman kereta tersebut.

Respons Umar, “Budak-budak sekarang, baru mula kerja dah nak kereta bulan-bulan lebih mahal dari gaji. Memang kena sabar dan tahan emosi bila berdepan situasi macam ni.”

Kisah ini mendapat perhatian ramai, mencetuskan perbincangan tentang harapan serta realiti kewangan.

Sebenarnya, tidak salah memasang cita-cita besar, tetapi perlu berpada-pada dan realistik dengan kemampuan kewangan semasa.

Melihat pada trend terkini anak muda, ingin memiliki kereta mewah tetapi dengan kadar gaji tak mencukupi, ini adalah satu sebab mengapa seseorang itu mempunyai masalah kewangan di masa hadapan.

Selain bermegah, terdapat faktor-faktor lain juga mempengaruhi seseorang untuk bermewah tanpa mengambil kira gaji diterima.

1. Aspirasi Status Sosial: Ramai anak muda menjadikan kereta mewah sebagai simbol status. Memiliki kereta mewah dilihat sebagai pencapaian besar dan lambang kejayaan dalam kerjaya dan kehidupan peribadi.

2. Pengaruh Media Sosial: Media sosial memainkan peranan besar dalam mempengaruhi gaya hidup mewah di kalangan generasi muda. Gambar-gambar kereta mewah sering dikaitkan dengan kejayaan, menyebabkan ramai berasa perlu mengikut jejak untuk menunjukkan gaya hidup serupa.

3. Pembiayaan Kreatif: Bank dan syarikat kewangan kini menawarkan pelbagai pelan ansuran yang lebih panjang dan fleksibel, memudahkan anak muda dengan pendapatan sederhana untuk membeli kereta mewah.

4. FOMO (Fear of Missing Out): Perasaan takut ketinggalan dalam kalangan rakan sebaya juga mendorong anak muda untuk membeli kereta mewah, walaupun dari segi kewangan mereka mungkin belum bersedia sepenuhnya.

Namun begitu, walaupun ramai yang berjaya membeli kereta mewah pada usia muda, keputusan ini harus diambil dengan berhati-hati dan mengambil kira komitmen jangka panjang seperti bayaran ansuran, insurans, serta penyelenggaraan. – Says

Google ads
Back to top button