
5 AMARAN AWAL YANG PERLU DIBERI PERHATIAN SEBELUM MEMBELI KERETA TERPAKAI – HATI-HATI GAIS
Proses membeli kereta lebih-lebih lagi kereta terpakai kadang-kala boleh membuatkan kita sakit kepala. Harga kereta baharu yang semakin meningkat membuatkan ramai yang beralih ke pasaran kereta terpakai. Kata putus di tangan penjual tapi sebagai pembeli bijak, kita mesti peka dengan tanda-tanda amaran unsur penipuan.

Satu perkara perlu diingat, atas dunia ni tak ada benda percuma. Kalau tawaran itu tidak munasabah dengan harga. Batalkan niat anda dan move on. Jangan mudah percayakan sesiapa. Ia mungkin menjadi penyebab kepada putusnya hubungan persahabatan. Korang faham kan?
Kalau harga terlalu murah berbanding harga pasaran, kami yakin 99 peratus yang ianya adalah scam. Kalau ada bakal pembeli yang sanggup membeli dengan harga yang lebih tinggi dari pasaran pun jangan layan kecuali kalau kereta yang nak dijual itu ialah Toyota Levin AE86 GT-Apex yang baharu keluar dari kotak. Bertuah la kalau jumpa kat Malaysia ni.
Sebenarnya dah banyak tips yang diberikan oleh kami dan rakan-rakan dari penulisan automotif lain tapi apa salahnya kalau kita nak segarkan kembali memori kita kan? Mari kita tengok beberapa tanda amaran awal penipuan ini.
Taktik Mohon Simpati
Ketika anda sedang melayari web jual beli kereta tiba-tiba mata anda terpaku pada sebuah jentera idaman jejaka kacak Malaya, sebuah Lancer Evo 6.5 Tommi Makinen Edition original untuk dilepaskan dengan harga RM70,000 sahaja. Klik sahaja dan penjual menerangkan tentang beliau perlukan wang untuk pembedahan untuk menggantikan kuku ibu beliau yang tercabut sewaktu mengukur kelapa untuk membuat onde-onde katanya. Kos pembedahan sekitar RM250K dan masih kurang RM70K.

Anda tertarik dan sebaik dihubungi penjual pun meminta deposit tempahan kerana ada beberapa pihak lain yang juga berminat dengan kereta tersebut. Taktik dah biasa sangat sebenarnya, sebaik masuk duit si penjual pun akan menghaibkan diri ataupun menyekat nombor dan akses kepada media sosial milik beliau.
Taktik Berselindung
Taktik ini bijak sikit. Penjual kononnya sibuk yang tak banyak masa luang jadi perjumpaan diadakan ditempat seperti tempat pakir yang kosong ataupun pertemuan di waktu malam dan biasanya diadakan di kawasan terpencil.

Ia sebenarnya untuk berlindung di sebalik pencahayaan yang kurang untuk melindungi kecacatan kereta tersebut sama ada dari bahagian visual ataupun kegagalan mekanikal. Takkan korang nak meniarap bawah ruang enjin malam-malam buta. Nak ajak pomen pun tak ramai yang sanggup kerja malam-malam kan?
Lebih menakutkan jika penjual memang seorang penjenayah yang memang mempunyai niat buruk terhadap anda. Jadi hati-hati jika penjual mengajak berjumpa di tempat terpencil.
Penipuan Odometer
Walaupun dengan teknologi dan unsur digital, penipuan odometer masih dilakukan hari ini. Lebih malang sebab undang-undang mengenainya tidak berapa ketat di negara kita ini. Bayang meter Mazda Miata tahun 2020 pun masih boleh ‘diputar’ balik ke 20,000 kilometer. Meleleh air liur bakal pembeli sebaik melihatnya dalam gambar iklan.

Disinilah pentingnya buku rekod servis sebab semua servis dinyatakan di situ bersekali dengan jumlah kilometer pergerakan kereta tersebut. Kalau tak ada buku servis pun sekurang-kurang pemilik boleh sertakan salinan resit-resit servis dan penyelenggaraan kereta tersebut.
Korang juga boleh perhatikan tanda-tanda lain seperti keadaan tempat duduk pemandu khasnya. Kalau dan lusuh, lembik dan terkoyak tu memang mustahil la perbatuannya baru 20,000 kilometer. Tinggalkan terus dan cari kereta lain.
Kereta Klon
Ini memang taktik popular khususnya bagi kereta-kereta yang dibawa masuk sebagai skrap dari Singapura. Untuk kepastian boleh bawa kereta yang ingin dibeli ke Jabatan Pengangkutan Jalan untuk diperiksa. Kalau pemilik nampak cuak dan berkeras menyatakan kereta beliau sah tapi tak nak diperiksa oleh JPJ tu jangan teruskan urusniaga anda.

Kalau beliau seorang yang jujur apa salahnya memberi kerjasama. Keluarkanlah modal sikit untuk kos pemeriksaan asalkan tidak menyesal di kemudian hari. Ingat kalau timbul masalah dengan pihak berkuasa dan kereta tersebut dirampas, jangan harap la nak dapat balik duit tu.
Deposit sekuriti
Ini memang taktik nak makan duit percuma. Sebelum membayar apa-apa deposit, tengok sendiri kereta depan mata, lakukan pemeriksaan dan semak segala perkara berkaitan dan selepas berpuas hati baru letak deposit.
Jangan percaya dengan alas an kononnya ramai lagi pembeli berminat dan untuk memastikan kereta tersebut menjadi milik anda kena cop dulu dengan meletakkan sejumlah wang untuk deposit.
Kalau anda dari Kota Bharu dan penjual konon berada di Kuala Lumpur, jangan sesekali masukkan deposit selagi belum berjumpa dan melihat sendiri kereta atau menghantar wakil yang dipercayai. Ini cara paling mudah menipu sebenarnya.

Jadi kalau nak beli kereta lepas ni kena lebih hati-hati gais. Ingat sikit banyak jerung penipu tunggu nak makan duit anda di luar sana.