
KERJASAMA KTM DAN KISKA DESIGN BERAKHIR SELEPAS LEBIH 30 TAHUN
KTM dilaporkan sedang membangunkan jabatan rekaan sendiri sekaligus menamatkan kerjasama puluhan tahun dengan firma rekaan terkemuka, KISKA Design.

KTM dan KISKA Design menjalinkan hubungan erat sekian lamanya ekoran sebahagian dari pemilikan firma tersebut adalah milik Pierer Mobility.
Bagaimanapun, dengan KTM kini menjadi milik Bajaj Group, syarikat gergasi dari India itu menjalankan beberapa perubahan drastik termasuk bahagian rekaan motosikal.

Sehingga kini, KISKA Design yang bertanggungjawab merealisasikan DNA KTM dan langkah terbaru ini bakal menyaksikan perubahan ketara motosikal dari Austria itu.
Namun begitu, difahamkan KTM akan mengekalkan warna ikonik sehingga diberitahu kelak termasuk reka bentuk lampu hadapan. Ini kerana sebarang perubahan rekaan memerlukan tempoh beberapa tahun sebelum dilaksanakan sepenuhnya.

Untuk rekod, KISKA Design bukan sahaja mereka motosikal KTM malah turut menghasilkan rekaan bagi Husqvarna, GasGas, CFMoto, X-Wedge dan terbaru, BSA.







