Pandu Uji

PERODUA TRAZ – SUV “TOYOTA” MAMPU MILIK?

Beberapa minggu lepas, ayah penulis bertanya bagaimana untuk menaiktaraf pengendalian Perodua Ativa. Antara komen yang biasa diterima oleh ayah selepas ada penumpang lain yang menumpang Ativa ialah bagaimana cesi SUV kompak ini terlalu berayun apabila melalui jalan tidak rata.

Seperti yang kita sedia maklum, Ativa dibina daripada platform DNGA-A yang sama seperti Axia. Ia tinggi, pendek dan sempit memberikan footprint yang kecil berbanding dengan SUV lain. Untuk menjadikan pengendalian lebih stabil, cara muda ialah besarkan footprint Ativa dan bina dengan platform lebih besar.

Sebagai contoh, sekiranya Perodua Traz muncul 2 tahun lepas maka SUV ini akan dicadangkan untuk ayah penulis berbanding dengan Ativa. Ini kerana Traz dibina dengan menggunakan platform DNGA B yang lebih besar.

Saiz ini memposisikan Perodua Traz sebagai sebuah SUV dalam segmen B yang namanya diambil daripada perkataan “teras”, membawa maksud asas atau tunjang utama. Dari sudut bahasa Inggeris pula, ia hampir dengan perkataan “trust”, seolah-olah memberi gambaran bahawa model ini dibina sebagai SUV yang boleh dipercayai untuk kegunaan harian keluarga Malaysia.

Dari segi rekaan luaran, Traz menggunakan konsep dua kotak (2-box design) yang sinonim dengan SUV kompak, namun tampil dengan gaya yang lebih moden dan segar. Walaupun berkongsi asas dengan Toyota Yaris Cross, terdapat sedikit perbezaan pada bahagian gril hadapan dan reka bentuk rim sisi yang membezakan identitinya.

Antara elemen yang menjadi kegemaran penulis ialah rekaan lampu depan yang tajam dan diberikan teknologi projektor LED lengkap dengan lampu DRL terbina dalam. Manakala lampu belakang juga direka tajam mirip seperti Lexus NX

Dimensinya adalah sepanjang 4,310 mm, lebar 1,710 mm dengan jarak roda 2,620 mm sama seperti Vios. Jarak kelegaan tanah setinggi 210 mm pula memberikan kelebihan ketika melalui jalan tidak rata atau bonggol tinggi, menjadikannya sesuai dengan keadaan jalan raya di Malaysia.

Memasuki ruang dalaman, reka bentuk papan pemuka Traz lebih dekat dengan gaya Toyota dan dibina berasaskan platform DNGA-B yang turut digunakan oleh Perodua Alza dan Perodua Ativa. Namun, kedudukan dashboard diangkat sedikit lebih tinggi untuk memberikan rasa pemanduan SUV yang lebih jelas.

Kemasan merah pada papan pemuka menambahkan elemen sporty dan menjadikan kabin kelihatan lebih ranggi tanpa keterlaluan. Mungkin ada yang memberi komen kemasan merah ini tidak kena dengan gaya Traz, tapi bagi penulis ia menceriakan sedikit suasana kabin yang direka dengan warna gelap

Dari aspek teknologi, Traz dilengkapi dengan skrin multimedia bersaiz 9 inci yang menyokong Android Auto dan Apple CarPlay. Paparan meter pula menggabungkan meter analog dengan skrin digital 4.2 inci di tengah. Rekaan tulisan putih dengan latar belakang hitam menjadikan paparan mudah dibaca dalam pelbagai keadaan cahaya.

Bahagian tempat duduk belakang menawarkan keselesaan yang baik dengan sokongan belakang dan ruang kaki yang mencukupi untuk penumpang dewasa. Penumpang belakang turut menikmati kemudahan seperti corong penyaman udara sendiri, dua port USB-C dan perehat tangan tengah.

Dari segi praktikaliti, ruang kargo menawarkan kapasiti 471 liter dalam keadaan kerusi belakang ditegakkan dan boleh diperluaskan sehingga kira-kira 1,000 liter apabila kerusi dilipat, menjadikannya sesuai untuk membawa barangan keluarga atau kelengkapan perjalanan jauh.

Traz dibina menggunakan platform DNGA-B yang sama seperti Toyota Vios, membuktikan ia berkongsi asas dengan sedan, MPV dan SUV dalam kumpulan yang sama. Malah ketiga-tiga model dikuasakan oleh enjin 1.5 liter 2NR-VE yang menghasilkan 106 PS dan 138 Nm tork, digandingkan dengan transmisi Dual Mode CVT (D-CVT) serta fungsi shiftronic tujuh kelajuan.

Dari segi prestasi, pecutan 0–100 km/j mengambil masa sekitar 12 saat dengan kelajuan maksimum mencecah 180 km/j. Ia bukanlah angka yang mengujakan kerana X50 jauh lebih baik. Tapi Traz cemerlang dari aspek penggunaan bahan api, sekitar 17.9 km/l dalam keadaan ideal, manakala pemanduan bandar biasanya sekitar 12 km/l.

Dalam pengalaman pemanduan, Traz menawarkan mod pemanduan ECO, Normal dan Power yang akan mengubah RPM enjin mengikut mode pemanduan. Sekiranya penulis menghidupkan karekter “toretto” dalam diri anda, tekan butang Power dan tukar gear ke Sport. Traz akan berubah menjadi lebih bertenaga dengan mengekstrak semua kuasa pada 4000 RPM ke atas

Tapi sayangnya aspek pengendalian ditumpulakn oleh sterengnya sedikit kaku dan kurang responsif berbanding sesetengah model lain dalam keluarga yang sama, namun masih memadai untuk kegunaan harian. Sebagai contoh Perodua Alza menawarkan respon stering yang lebih baik dari Traz

Dalam aspek keselamatan, semua varian dilengkapi brek cakera pada keempat-empat roda yang memberikan respons baik serta keyakinan ketika membrek. Kehadiran Electronic Parking Brake (EPB) dan Auto Hold pula sangat membantu terutama dalam situasi trafik sesak.

Dari segi pengendalian, Traz terasa lebih stabil berbanding Ativa kerana dimensinya yang lebih panjang dan lebar walaupun menggunakan suspensi belakang jenis torsion beam. Namun, disebabkan ketinggiannya, terdapat sedikit rasa olengan jika mengambil selekoh terlalu laju.

Untuk pemanduan lurus pada kelajuan lebuh raya, kestabilannya adalah jauh lebih baik. Anda akan rasa kualiti pemanduan Traz adalah setara dengan Toyota Vios. Ini disebabkan tahap kebisingan sangat terkawal dengan sekitar 59 dB pada kelajuan 110 km/j, disebabkan pemasangan.

Apabila enjin diperah sehingga 4,000 rpm, barulah kadar kebisingan meningkat kepada sekitar 66 dB dan bunyi enjin mula kedengaran dengan lebih jelas. Dalam aspek keselesaan, penulis dapat rasa rekaan kusyen depan dan belakang pada Traz adalah paling baik yang pernah dikeluarkan oleh Perodua

Sudut sandaran kuysen rasa lebih natural dan sokongan pada bahagian kaki juga labih panjang, sekaligus mengurangkan keletihan pemandu dan penumpang untuk perjalanan jarak jauh. Kualiti sistem audio Traz juga sedap didengar, berbanding dengan kebanyakan model Perodua yang lain.

Antara kekurangan yang ada pada Traz ialah sistem ADAS yang tidak dilengkapi dengan Adaptive Cruise Control (ACC) serta ketiadaan fungsi Auto High Beam. Bagi sesetengah pembeli, ketiadaan ciri-ciri ini mungkin sedikit mengecewakan dalam julat harga tersebut. Ini kerana Myvi AV dan Alza AV yang dijual pada harga lebih murah menawarkan kedua dua ciri tersebut

Secara keseluruhannya dengan harga sekitar RM81,100 bagi varian H, Perodua Traz sesuai untuk pemandu yang mempunyai dua anak dan ingin menaik taraf daripada model lama seperti Myvi, Axia, Bezza atau Saga mahupun Persona kepada SUV yang lebih besar dan luas.

Ia menawarkan keseimbangan antara praktikaliti, keselesaan dan kos pemilikan, menjadikannya satu pilihan yang relevan dalam trend SUV masa kini. Ia mungkin tidak cukup berkuasa, tidak menawarkan teknologi yang canggih, tapi masih menawarkan sebuah “Toyota” pada harga Perodua

Google ads
Back to top button