
TERKINI: MODENAS LANCAR KAWASAKI KLE 500 TAHUN INI – 51HP, 42NM
Kawasaki dengan rasminya mengembalikan nama ikonik dari dunia motosikal adventure dengan pelancaran Kawasaki KLE 500 pada bulan Oktober tahun lalu.
Selepas pelancaran global, Thailand menjadi pasaran Asia Tenggara pertama yang menerima model serba baharu itu, baru-baru ini. Bagi pasaran negara itu, KLE 500 hadir dengan dua varian; Standard dan SE.

Menariknya, kami dimaklumkan bahawa Edaran Modenas (EMOS) selaku pengedar rasmi jenama Kawasaki di Malaysia akan turut melancarkan KLE 500 untuk pasaran tempatan tahun ini.
Ini bermakna, KLE 500 bakal bersaing dengan beberapa model termasuk CFMoto 450 MT, Royal Enfield Himalayan 450 dan Honda NX500.

Memandangkan terdapat permintaan tinggi bagi segmen adventure berkapasiti bawah 500cc, Kawasaki buat keputusan untuk menghidupkan semula lencana KLE500 yang pernah menjadi nama besar pada era 90-an.
Meskipun berkongsi nama sama dengan KLE500 keluaran 1991-2007 namun KLE500 2026 ini adalah model serba baharu. Menggerakkan model baharu ini adalah unit dua silinder (parallel-twin) 451cc yang sama terdapat pada Ninja 500, Z500 dan Eliminator 500.

Hasilnya, KLE 500 menawarkan 51.2hp pada 10,000rpm dan 42.6Nm pada 7,500rpm. Untuk perbandingan, CFMoto 450 MT menghasilkan 44hp dan 44Nm.
Antara perincian lain disenaraikan, rim 21-inci depan dan 17-inci belakang, ABS, skrin TFT serta tangki bahan api berkapasiti 16-liter.
Dalam pada itu, KLE 500 ini dijangka akan turut mengguna pakai nama dan lencana MODENAS sepertimana yang dilaksana pada model Kawasaki bersesaran 250cc hingga 650cc.
GALERI: KAWASAKI KLE 500





















