Buletin

LEAPMOTOR B10 DIBUKA UNTUK TEMPAHAN – ANGGARAN HARGA RM110K–RM120K

Leapmotor Malaysia kini membuka tempahan untuk Leapmotor B10, menjelang pelancaran rasminya pada Disember 2025.

Model segmen C ini dijangka dijual antara RM110,000 hingga RM120,000, meletakkannya sebagai salah satu pilihan EV paling mampu milik dalam kelasnya.

Untuk mereka yang pantas, yuran tempahan hanya RM80, dan ada pula ganjaran lumayan menanti. 200 pelanggan terawal akan menerima pakej istimewa ‘LeapX100’, yang menawarkan pulangan 100 kali ganda dalam bentuk wallbox charger percuma atau servis tanpa caj, berserta rebat tunai sehingga RM8,000.

Dari segi saiz, B10 hadir dengan dimensi 4,515mm panjang, 1,885mm lebar, 1,655mm tinggi, bersama jarak roda 2,735mm.

Ia dilengkapi bateri sehingga 67.1kWh yang mampu memberikan jarak pemanduan sehingga 460km (WLTP). Kapasiti but bermula pada 420 liter, dan boleh dibuka luas sehingga 1,415 liter apabila kerusi belakang direbahkan.

Bahagian kejuruteraan B10 turut menjadi tumpuan apabila ia dibangunkan atas platform baharu LEAP3.5, iaitu struktur bateri-kerangka bersepadu yang menekankan keselesaan, ketangkasan pemanduan dan kecekapan tenaga.

Reka bentuk dan teknologi kabinnya juga membawa identiti terkini Leapmotor, menjadikannya sebuah EV yang bukan sekadar mampu milik tetapi juga moden dan lengkap.

Bagi mereka yang ingin menjadi pemilik awal B10, tempahan boleh dibuat di semua pengedar sah Leapmotor di seluruh negara. Pelanggan juga boleh mendaftar minat melalui laman rasmi Leapmotor Malaysia.

Google ads
Back to top button