BATERI EV BOLEH ‘PANJANG UMUR’ DENGAN AI?
Teknologi pengecasan pantas semakin menjadi keutamaan pengeluar kenderaan elektrik (EV), namun kaedah itu boleh memberi kesan terhadap jangka hayat bateri dalam tempoh panjang.
Kini, penyelidik melihat kecerdasan buatan (AI) sebagai penyelesaian untuk mengurangkan masalah tersebut.
Sekumpulan penyelidik dari Chalmers University of Technology menerusi kajian yang diterbitkan oleh IEEE membangunkan algoritma pengecasan “health-aware” yang mampu menilai tahap kesihatan bateri dan menyesuaikan proses pengecasan mengikut keadaan semasa bateri.
Melalui simulasi yang dijalankan, teknologi itu dikatakan mampu memanjangkan hayat penggunaan bateri sehingga hampir 23 peratus tanpa menjejaskan tempoh pengecasan.

Algoritma berasaskan AI berkenaan boleh berhubung terus dengan sistem pemantauan bateri bagi mempelajari corak degradasi semasa bateri semakin berusia, selain mengesan tanda awal kerosakan.
Menariknya, sistem itu didakwa tidak memerlukan sensor tambahan khas untuk memantau keadaan bateri secara terperinci.
Kebanyakan pengeluar EV ketika ini hanya memantau kesihatan bateri menerusi bacaan voltan pada setiap sel, namun pendekatan baharu ini dilihat lebih menyeluruh kerana ia turut menilai tindak balas kimia di dalam bateri.
Berdasarkan tahap kesihatan bateri, sistem AI tersebut akan melaras kadar pengecasan dengan mengubah had voltan sama ada memperlahankan atau mempercepatkan proses pengecasan.
Dalam ujian simulasi, bateri yang menggunakan sistem AI mampu bertahan sehingga 703 kitaran pengecasan sebelum kapasiti jatuh di bawah 80 peratus. Sebagai perbandingan, bateri dengan sistem pengecasan biasa hanya bertahan sekitar 572 kitaran.
Walaupun begitu, masa pengecasan kekal hampir sama iaitu sekitar 24 minit bagi kedua-dua kaedah.
Teknologi seperti ini dilihat berpotensi besar untuk digunakan secara komersial pada masa hadapan. Beberapa syarikat teknologi turut membangunkan perisian serupa, termasuk Breathe yang kini bekerjasama dengan Volvo bagi model EV generasi baharu pengeluar itu bermula dengan EX60 pada tahun 2027.
Selain membantu memanjangkan jangka hayat bateri, teknologi pemantauan masa nyata itu juga didakwa mampu meningkatkan kelajuan pengecasan antara 15 hingga 30 peratus.









