Buletin

HOLDEN SAH BERKUBUR DI AUSTRALIA HUJUNG TAHUN 2020

Jenama Holden akan ditamatkan riwayatnya secara rasmi di Australia pada hujung tahun 2020. Situasi itu berlaku hanya tiga tahun selepa pengeluaran tempatannya dihentikan dan menyaksikan jualan bulanan terendah sejak ditubuhkan pada tahun 1948.

Langkah penutupan itu dibuat berikutan General Motor (GM) akan keluar dari pasaran pemanduan sebelah kanan (RHD) di seluruh dunia.  

Walaupun semua sudah maklum tentang jualan yang teruk, pengumuman ini masih mengejutkan golongan veteran industri kerana Holden kini sudah kehabisan talian hayatnya.

GM juga akan menutup studio rekaan di Melbourne dan trek ujian di Lang Lang, pinggir Melbourne. Dijangka sekitar 800 pekerja akan hilang mata pencarian dan mereka bakal diberi pampasan.  

Seramai 200 orang pekerja dikekalkan untuk memenuhi tempoh jaminan dan servis sehingga 10 tahun.

Sumber dalaman mendakwa keputusan itu dibuat di Detroit kira-kira dua hari lalu. GM sebelum ini didakwa cuba menghidupkan kembali jenama Holden apabila memperkenalkan Holden Acadia, SUV Holden Equinox dan Corvette di pasaran AS.  

“Kami memang ingin menghidupkan semula Holden. Kami tidak salahkan pekerja di Australia. Keputusan ini diambil kerana keutamaan pelaburan semata-mata,” kata seorang pegawai kanan GM.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, GM dilihat kurang memberi perhatian kepada pasaran RHD. Ia kemudian dilihat keluar dari pasaran-pasaran penting seperti United Kingdom, Jepun, India dan Afrika Selatan.

Tiga lagi pasaran RHD yang masih ada ialah Thailand, Australia and New Zealand. Namun GM menegaskan adalah tidak menguntungkan membina model baharu untuk pasaran kecil itu.

Di peringkat global, lebih 75 peratus kenderaan yang dijual ialah pemanduan sebelah kiri.

Dengan ketiadaan Holden, GM dilapor merancang untuk memperkenalkan satu sub jenama dikenali sebagai General Motors Specialty Vehicles (GMSV). GMSV akan menjual  beberapa model terpilih seperti Chevrolet Camaro dan Silverado.

Kedua-dua model itu kini dijual di 65 pengedar Holden di seluruh Australia. Masih belum jelas berapa banyak pengedar yang akan menggunakan nama GMSV ini.

Google ads
Back to top button