
100 ANGGOTA BOMBA BERTUNGKUS LUMUS PADAMKAN KEBAKARAN BATERI EV DI KILANG GM
Ini boleh dikatakan satu cabaran baharu dan memang memerah keringat anggota bomba: kebakaran EV ataupun komponennya. Contoh terbaharu ialah kebakaran yang berlaku di kilang GM, Factory Zero di Detroit, Michigan. Ia mengakibatkan kerugian hampir USD1 juta akibat kebakaran yang berlaku pada 19 Disember lepas.

GM menyatakan kebakaran kemungkinan besar berlaku selepas sebuah forklift dengan tidak sengaja telah membocorkan sebuah kontena material untuk menghasilkan bateri EV. Kebakaran itu juga telah mengerah tenaga hampir 100 anggota bomba dan 12 unit jentera bomba yang bertungkus lumus untuk mengawal keadaan.
Laporan yang diperolehi dari Freedom of Information Act menyatakn seorang anggota bomba cedera selepas terjatuh dan hampir kesemua anggota bomba terlibat telah terdedah kepada gas lithium-ion.
Laporan berita tempatan pula menyebut anggota bomba berada di kilag tersebut selama lebih tujuh jam dan lima palet betari sudah pun terbakar sebaik mereka tiba di lokasi. Kebakaran bateri tersebut menyebabkan GM kerugian hampir USD1 juta dan ditambah lagi USD300k akibat kerosakan struktur binaan.
Ketua jabatan bomba Detroit menyatakan yang mereka menerima hampir lapan panggilan kecemasan dari kilang tersebut sejak musim panas tahun lepas dan mereka kini dalam perbincangan dengan GM tentang cara terbaik untuk mengatasi masalah ini.
Bateri EV menurut jabatan bomba ialah cabaran terbaru anggota bomba dan mereka sedang bekerjasama dengan GM untuk cara terbaik mengendalikan bateri ini supaya kebakaran dapat dibendung sebelum berlaku.

Memanglah, cuba bayangkan macam mana bomba nak terima panggilan lain kalau sampai tujuh hingga lapan jam diperlukan untuk memadamkan kebakaran bateri EV.
Wakil GM ketika diminta mengulas menyatakan bukan semua kebakaran melibatkan EV. Ada juga kes-kes yang kecil tapi mereka tetap memilih untuk menghubungi jabatan bomba sebagai langkah berjaga-jaga.