Buletin

WRC 2020 – ELFYN EVANS MELOMPAT LEBIH TINGGI DI SWEDEN

Perlumbaan pusingan kedua World Rally Championship (WRC) musim 2020 yang berlangsung di Sweden hujung minggu baru baru ini berjaya dimenangi pelumba Toyota, Elfyn Evans.

Kejayaan pelumba Britain yang baru dua kali memandu jentera Yaris WRC untuk musim ini dilihat agak memeranjatkan apatah lagi beliau cukup konsisten memimpin perlumbaan selama 4 hari saingan dalam suasana yang cukup sejuk dan permukaan bersalji dan licin.

Dengan permukaan serta perubahan suhu yang ketara, sudah tentu pemilihan tayar yang tepat mampu memberikan lebih keyakinan untuk membelok serta memecut. Menarik tentang Kejayaan Elfyn Evans, beliau muncul pemandu pertama dari British yang memenangi perlumbaan musim sejuk di Sweden.

Ketinggalan di tempat kedua adalah penyandang juara musim lalu, Ott Tanak yang kembali bangkit setelah kecewa di perlumbaan pembukaan. Ott Tanak ketinggalan 12.7 saat sahaja bersama jentera i20 WRC.

Turut mencuri perhatian adalah pemandu muda Kalle Rovanpera yang berjaya mengatasi rakan sepasukan lebih senior, Sebastian Ogier untuk berada di tempat ketiga keseluruhan. Ternyata gandingan pemandu Toyota kini mula menunjukkan belang. Pemandu muda dari Finland itu berjaya memenangi TV Wolf Power Stage untuk mengutip lima mata tambahan yang berharga dengan pemandu Belgium Thierry Neuville ditempat kedua mengutip empat mata.

Oh ya, masih ingatkah anda semua tentang Oliver Solberg, anak kepada pemandu lagenda Petter Solberg. Umum mengetahui tahun sudah beliau menyertai WRC2 dengan memandu Volkswagen Polo GTI R5, tapi di Sweden beliau telah dilamar oleh Skoda Motorsport untuk memandu Skoda Fabia R5 pula. Cuma sayangnya beliau mengalami masalah tayat pancit yang menghalang untuk mendapatkan keputusan lebih baik di Sweden. Tapi yang pasti, perlumbaan berikutnya, Oliver Solberg bakal kembali memandu jentera Polo GTI R5 tersebut. Projek dengan Skoda Motorsport ini lebih kurang macam projek indie. Tengok macam mana dia punya pergi nanti.

Apa pun, pusingan ketiga bakal beralih ke benua Amerika apabila Mexico bakal menjadi tuan rumah pula. Dengan permukaan gravel, sudah tentu kelibat jentera rali memecut lebih laju dan terbang tinggi dapat dilihat.

Kedudukan Mata Pemandu

  1. Elfyn Evans – 42 Mata
  2. Thierry Neuville – 42 Mata
  3. Sebastian Ogier – 37 Mata

Kedudukan Mata Pembuat

  1. Toyota Gazoo Racing – 73 Mata
  2. Hyundai Shell Mobis – 63 Mata
  3. M-Sports Ford – 40 Mata

BACA : WRC 2019 – GILIRAN OTT TANAK PULA MENJUARAI DI SWEDEN

BACA : WRC 2020 – THIERRY MUNCUL JUARA PEMBUKA TIRAI

Google ads

B K

Back to top button