KEWUJUDAN EV MULA DIRAGUI – PERMINTAAN RENDAH, KURANG UNTUNG
Syarikat gergasi automotif, Honda dan Toyota menyuarakan keraguan mereka mengenai industri kenderaan elektrik (EV) ketika pasaran kini bergelut dengan permintaan yang rendah.
Setelah Honda dan GM membatalkan perancangan menghasilkan EV mesra bajet, jelas sekali bahawa pengeluar berkenaan melihat EV bukanlah perniagaan membawa pulangan, lebih-lebih mengambil kira pelbagai faktor ketika pengguna memilih untuk beralih kepada EV.
Terdahulu, projek Honda-GM ini adalah bertujuan untuk memanfaatkan teknologi bateri Ultium GM dan EV mampu milik itu dijangka dikeluarkan pada 2027.
Dalam temu bual dengan Bloomberg, Ketua Pegawai Eksekutif Honda Toshihiro Mibe berkongsi bahawa inisiatif AS$5 bilion (RM23.8 bilion) “akan sukar sebagai perniagaan,” menandakan rancangan itu terlalu mahal untuk dilaksanakan.
Sentimen itu diulangi dalam satu kenyataan bersama oleh Honda dan GM, menyatakan keputusan itu dibuat selepas kajian dan analisis yang meluas.
Peneraju pasaran EV, Tesla, turut menerima tempias hasil permintaan rendah apabila pendapatan sesaham (EPS) bagi suku tahunan, merekodkan 10 peratus lebih rendah berbanding dua tahun sebelumnya.
Apabila ditanya mengenai penurunan permintaan baru-baru ini di A.S. semasa acara kereta di Tokyo, Pengerusi Toyota Akio Toyoda berkongsi industri itu tidak seharusnya hanya bergantung kepada EV untuk mencapai kelestarian alam sekitar.
“Orang ramai akhirnya melihat realiti,” kata Toyoda.
“Terdapat banyak cara untuk mencapai neutraliti karbon.”
Sehubungan itu, Toyota kini sedang mengatur strategi baharu, membangunkan serta meneroka tenaga alternatif iaitu enjin berkuasa ammonia.
Yakin dengan enjin ammonia sebagai penyelesaian tenaga mampan, Toyota menjalin kerjasama dengan pengeluar China GAC Group, di mana Toyota turut memiliki kepentingan, telah melancarkan enjin ammonia prototaip.
Enjin empat silinder 2 liter inovatif ini didakwa menghasilkan 161hp dan berupaya mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 90 peratus.