Buletin

HONDA CIPTA BEG UDARA LEBIH SELAMAT – MULA GUNA TAHUN DEPAN

Honda baru-baru ini memperkenalkan teknologi beg udara untuk penumpang hadapan yang baru. Ia dibina dan diuji oleh Honda R&D Americas Inc. bersama Autoliv, sebuah syarikat yang membekalkan sistem keselamatan kepada Honda. 

Projek itu mengambil masa selama empat tahun untuk disiapkan. Honda dilaporkan mahu menggunakan beg udara itu mulai tahun depan.  

Honda Next-Generation Airbag

Pengeluar kenderaan dari Jepun itu mendakwa rekaan beg udara baharu tersebut memberi lebih perlindungan dalam julat lebih lebar jika berlaku pelanggaran dari arah hadapan. 

Apa yang lebih menarik, beg udara multi-peringkat tersebut direka supaya dapat berfungsi apabila kereta berlanggar dari sudut yang berbeza. Mengikut kajian yang dijalankan oleh Honda, beg udara konvensional tidak efektif dalam memberi perlindungan kepada bahagian kepala. 

Malah, wujud risiko di mana kepala boleh mengalami kecederaan serius apabila terkena beg udara. Justeru, rekaan beg udara yang baru ini mempunyai beberapa beg udara kecil pada bahagian sisi, selain satu lapisan kain mesh pada bahagian tengahnya. 

Ia meniru konsep sarung tangan pemain besbol yang akan ‘memegang kepala’ penumpang dan mengurangkan risiko kecederaan. 

“”Teknologi beg udara yang baru ini membuktikan usaha berterusan Honda untuk meningkatkan keselamatan dan mengurangkan kecederaan atau kematian,” kata Presiden Honda R&D Americas Inc., Jim Keller.

Tags
Google ads
Back to top button