Buletin

HONDA CIVIC Si COUPE DAN SEDAN FACELIFT, GEAR MANUAL + 1.5 TURBO

Sebelum ini kami pernah siarkan tentang Honda Civic Hatchback facelift yang dilancarkan di Amerika Syarikat. Model facelift tersebut dilancarkan setahun selepas Civic Sedan dan Coupe facelift diperkenalkan.

Kami sangkakan itu sahaja daripada Honda namun rupa-rupanya ada lagi buah tangan yang belum dilancarkan. Kali ini giliran Honda Civic Si Coupe dan Sedan pula.

Civic Si bukan varian biasa, ia hanya ditawarkan dengan nadi kuasa 1.5L turbo dan transmisi manual enam kelajuan sahaja. Kuasa Si juga berbeza iaitu 205 hp pada 5,700 rpm dan tork 192 Nm dari 2100 hingga 5000 rpm.

Varian Civic lain dengan enjin 1.5L turbo yang sama berkuasa 174 hp pada 6,000 rpm dan tork 220 Nm dari 1700 hingga 5500 rpm.  

Selain berbeza dari segi kuasa, Civic Si lebih cenderung kepada pemanduan sporti dengan nisbah gear akhir enam peratus lebih pendek berbanding model sebelum ini untuk memberikan daya pecutan lebih tangkas.

Civic Si juga dipasangkan limited-slip differential jenis helical dan sistem suspensi adaptif dengan dua mod.

Ringkas kata, Civic Si ialah untuk pelanggan yang mahukan lebih kuasa berbanding Civic kebanyakan dan tidak pula terlalu hardcore seperti Type R.

Dari luaran, kedua-dua Civic Si Coupe dan Sedan hadir dengan gayaan sama seperti Civic Hatchback yang diperkenalkan sebelum ini. Beza ketara ialah bampar model Coupe Si hanya sedikit berbeza dengan Coupe facelift yang dilancarkan tahun lalu.

Selain itu kedua-dua Civic Si dilengkapi roda 18 inci baharu berwarna hitam kusam dengan tayar berprestasi untuk kesemua musim atau pilihan tayar musim panas.

Pada bahagian dalaman, kerusi sporrt Civic Si kini dengan kemasan merah baharu pada bahagian punggung dan belakang. Papan pemuka pula nampak menarik dengan riasan merah pada bahagian corong penyaman udara. 

Untuk kelengkapan keselamatan, teknologi Honda Sensing® kini menjadi spesifikasi standard.

Di antara teknologi tersebut ialah Adaptive Cruise Control (ACC), Collision Mitigation Braking System™ (CMBS™) dengan Forward Collision Warning (FCW), Lane Keeping Assist System (LKAS) dan Road Departure Mitigation (RDM) dengan Lane Departure Warning (LDW). dan Automatic High Beams.

Berkenaan harga, kedua-dua Honda Civic Si Coupe dan Sedan ditawarkan pada USD$25,930 (RM108,584). Harga tersebut tidak jauh beza dengan Honda Civic Hatchback facelift varian aras mula LX CVT iaitu USD$22,580 (RM94,294).

Ternyata tawaran Honda Civic begitu meriah di Amerika Syarikat dengan pelbagai varian dan kuasa. Selepas pelancaran pelbagai varian Civic facelift kami berpendapat giliran seterusnya ialah Civic Type R pula.

Dengar kata Civic Type R bakal ditawarkan dengan dua pilihan spoiler belakang iaitu tinggi seperti sekarang dan lebih rendah.

Honda Civic kini memasuki tahun keempat sejak dilancarkan pada tahun 2015 dan kebiasaannya model serba baharu akan diperkenalkan pada tahun kelima atau selewat-lewatnya tahun keenam.

BACA: HONDA CIVIC HATCHBACK FACELIFT KINI DI AMERIKA SYARIKAT, DARI RM94K!

BACA: APA ISTIMEWANYA HONDA CIVIC FD2 TYPE-R?

BACA: HONDA CIVIC FN2. KISAH TYPE-R YANG TIDAK DIKENALI…

Petronas MREC – Desktop
Tags
Google ads
Back to top button